Wednesday, October 31, 2012

Sungkai

Bas ke Sungkai singgah sebentar di Bidor. Orang kampung turun dan naik sepanjang perjalanan. Hampir setiap orang yang naik bas ni dikenali si konduktor. Ada sahaja yang dibualkan. Tiada apa yang menarik sepanjang perjalanan. Aku lebih banyak mengelamun berbanding memerhati keadaan sekeliling. 

Aku teringat dulu masa kecil. Masa keluarga aku tak punya apa-apa kenderaan. Bas lah yang menjadi kenderaan utama kami. Tiap kali turun dari bas, Abi pasti akan ucap terima kasih. Ucapan 'Terima Kasih' dalam semua bahasa dia tahu. Kalau driver bas tu India, Tamil lah dia akan ucap. Kalau Cina, dalam Mandarin lah biasanya dia akan ucap terima kasih. Mungkin atas sebab itulah hampir setiap driver bas ke rumah aku kenal dia. Dah kenal, tambang jadi percuma lah.

Bas tiba di pekan Bidor lebih kurang 30 minit kemudian. Berhenti sebentar sekadar mengambil dan menurunkan penumpang. Aku ternampak banyak bas di Bidor mempunyai pelekat 'Bas Tabung' di cermin hadapan. Puas aku fikir apa maksud 'Bas Tabung'. Rupanya 'Bas Tabung' tu bermaksud bas tu menggunakan sistem tabung, tidak mempunyai konduktor. Sama macam bas-bas di KL. Tujuan pelekat 'Bas Tabung' ditampal mengingatkan penumpang menyediakan duit tambang yang tepat sebelum menaiki bas. Baki tidak akan dipulangkan. Tidak semua bas di sini menggunakan sistem tabung, mungkin sebab tu mereka perlukan pelekat tersebut.

Keluar sahaja dari pekan Bidor, aku ternampak satu bengkel kereta di sebelah kiri jalan. Aku tertarik dengan nama bengkel tersebut. 'Workshop Lan Pet Pet' namanya. Aku tak pasti bengkel tu betul-betul kepunyaan Lan Pet Pet ahli Senario atau tidak. Mungkin betul kepunyaan dia. Atau owner bengkel tu memang namanya Lan Pet Pet tapi bukan Lan Pet Pet Senario. Atau mungkin sekadar gimik marketing. Tapi bengkel tu memang banyak kereta aku tengok.

Bas sampai di Sungkai tak lama lepas tu. Masa sampai di Sungkai, konduktor bas terus beritahu aku yang bas ke Slim River sedang menunggu di hujung terminal. Sebuah bas Mara Liner, lengkap dengan air cond. Dia beritahu destinasi terakhir bas tu adalah Tanjung Malim, bukan Slim River. Aku perlu turun dipertengahan perjalanan. Sangat ambil berat konduktor tu. Aku ucap terima kasih dan turun.

Cuaca sangat panas petang tu. Aku singgah di kedai runcit berhampiran terminal untuk membeli air. RM1.50 satu tin 100 Plus untuk kedai runcit dah cukup murah bagi aku. Aku jatuh hati dengan pekan Sungkai ni. Terasa mahu berhijrah ke sini. Aku memang berhasrat mahu berhijrah ke pekan kecil. Pekan kecil yang tiada siapa kenal aku dan yang paling penting kos sara hidup di pekan tu tidak setinggi di KL. Dengan keadaan emosi aku sekarang, hidup di KL menjadi bertambah sukar. Aku mahukan kehidupan yang baru. Tempat baru, gaya hidup baru, kerja baru. Untuk aku yang baru.

Tapi Airtrek menghalang aku untuk berhijrah. Aku perlukan RM1100 sebulan untuk bayar balik loan RHB Islamic, RM900 untuk belanja harian dan bajet RM400 untuk rumah. Jumlah keseluruhan yang aku perlu setiap bulan lebih kurang RM2400. Mana nak dapat kerja yang bergaji RM2400 sebulan di pekan kecil. Kalau aku mahu berhijrah, aku perlu jual Airtrek dan pakai motor je.

Aku berhajat untuk berjalan-jalan di pekan Sungkai tapi bila memikirkan bas ke Tanjung Malim sedang menunggu, aku batalkan hasrat aku. Aku tak mahu terlepas bas. Tak tahu pukul berapa bas seterusnya akan sampai. Enjin bas Mara Liner tu dibiarkan hidup. Terdapat seorang penumpang di dalam bas. Driver bas tiada. Hilang ke mana, aku tak pasti. Aku memerhatikan bas tu dari jauh. Aku tak nak naik bas tu lagi, mahu merokok dulu.

Sunday, October 28, 2012

Tapah

Cuaca panas di sini. Aku tak tahu aku di mana. Di belakang aku ada sebaris rumah teres, kawasan taman perumahan yang sunyi. Trafik di jalan hadapan aku tidak menentu. Satu ketika banyak kenderaan lalu-lalang, kemudian keadaan kembali sunyi. Hari ini hari bekerja, mungkin mereka semua masih di tempat kerja masing-masing.

Aku duduk di bus stop sambil merokok. Backpack aku letakkan di sebelah dengan keadaan host bladder aku biarkan terjuntai. Sekali-sekala aku sedut air dari host bladder membasahkan tekak. Ntah kenapa aku tak rasa mahu menahan kereta untuk ke pekan Tapah. Aku cuma sekadar memerhatikan kenderaan yang lalu-lalang di hadapan aku. Fikiran aku melayang ke Jen. Aku tak tahu tindakan aku malam semalam betul atau tidak. Ada sedikit menyesal tidak beralah semalam, sengaja mengeruhkan lagi keadaan.

Agak lama aku duduk di bus stop tu tanpa membuat apa-apa. Aku sedar dari lamunan apabila aku terkejut dengan bunyi hon dari lori pasir yang lalu di hadapan. Tak tahu mengapa dia membunyikan hon. On GPS, aku check kedudukan aku sekarang. Aku sekarang berada berhampiran Kampung Pahang, lagi 3.6KM untuk ke pekan Tapah. 3.6 bukan jauh sangat. Lagi pun aku tak berjalan kaki lagi hari ini. Semenjak aku backpacking ni, badan aku akan terasa tak selesa bila belum berpeluh. Aku sarung backpack dan mula berjalan.

Aku melepasi satu kawasan rumah kedai. Berhenti makan tengah hari di situ. Lauk-pauk yang tersedia memang kena dengan selera aku. Masakan kampung lengkap dengan ulam dan sambal belacan. Tengah makan, sekumpulan gadis beruniform seperti nurse datang. Gaya mereka seperti pelajar kolej kejururawatan, bukan seperti nurse sebenar. Mungkin ada kolej kejururawatan yang terletak berhampiran. Aku habiskan makanan dan terus sambung berjalan.

Lebih kurang 5 minit berjalan, sebuah teksi berhenti betul-betul di sebelah aku. Driver teksi, seorang lelaki India berumur dalam lingkungan 40an, menurunkan tingkap dan bertanya aku mahu ke mana. Dengan nada endah tak endah, aku menjawab aku mahu ke pekan Tapah. Selepas apa yang terjadi di Kea Farm semalam, aku tak berhajat untuk menaiki teksi.

"Naiklah. 3 ringgit je saya charge sampai Tapah. Dari you berjalan kaki jauh, baik you naik teksi saya je.", driver teksi tu offer.

Hampir terbeliak biji mata aku bila dia sebut RM3. Murah sangat. Mana nak dapat tambang teksi macam tu. Kat KL, buka je pintu dah kena charge RM3. Sebab murah, aku naik teksi tu. Sepanjang perjalanan aku diam. Mood aku berubah akibat memikirkan Jen tadi. Driver teksi tu juga diam. Lansung tidak bertanya apa-apa walaupun soalan di mana aku mahu turun. Dia turunkan aku di perhentian teksi di tengah-tengah pekan Tapah yang terletak bertentangan dengan perhentian bas. Aku bayar tambang, ucap terima kasih dan terus berjalan ke arah perhentian bas.

Aku tahu tempat ni. Ramadhan yang lepas, aku pernah ke sini untuk menghantar hamper raya kepada Pegawai Daerah Tapah. Aku masih ingat, di jalan inilah mereka adakan bazar Ramadhan masa aku datang. Harga di bazar ni masih murah berbanding di KL. Kuih-muih masih dijual dengan harga RM1 untuk tiga ketul, air masih RM1, Nasi Goreng masih RM3. Jauh berbeza berbanding di KL. Aku pernah terfikir untuk berhijrah ke sini masa tu. Memasang angan-angan menjadi pegawai kerajaan di daerah terpencil macam sini.

Mengikut panduan yang aku jumpa di Internet, jika mahu ke arah selatan menggunakan bas tempatan, dari Tapah aku perlu ke Slim River terlebih dahulu kemudian ke Tanjung Malim. Dari Tanjung Malim, akan ada bas ke Rawang dan seterusnya ke KL. Aku berjalan menyusuri kaunter-kaunter tiket yang terdapat di perhentian bas Tapah. Berdasarkan papan tanda di kaunter tiket, tiada satu pun bas ke Slim River.

Mungkin melihat aku terpinga-pinga seperti orang asing yang sesat, uncle India penjual kacang di perhentian tu menegur aku. Katanya aku perlu ke Sungkai terlebih dahulu sebelum ke Slim River. Bas direct ke Slim River dari Tapah tidak pernah wujud. Mungkin panduan yang aku jumpa tu tersilap, katanya. Terdengar perbualan antara aku dan uncle India, seorang perempuan berambut pendek memegang pouch kecil mencelah. 

"Cepat naik! Bas dah nak jalan ni.", kata perempuan tu.

Dia konduktor bas ke Sungkai rupanya. Aku mengekori dia ke bas. Driver bas sudah bersedia untuk memulakan perjalanan semasa kami naik. Aku duduk berhampiran pintu belakang, bersebelahan tingkap. Aku buka tingkap seluas yang boleh. Tiada orang di belakang, jadi tiada masalah untuk aku membuka tingkap luas. Aku dan penumpang belakang berkongsi panel tingkap yang sama. Jika aku membuka tingkap luas maksimum, panel tingkap penumpang belakang akan tertutup.

Dah lama tak naik bas macam ni. Bas bertingkap panas tanpa air cond, panel tingkap berkongsi dengan penumpang belakang, butang loceng berbentuk bulat dengan punat berwarna merah, lantai besi berwarna silver yang hitam kotor dan kerusi merah gelap berspan lembut yang tidak mempunyai pemisah ditengah. Teruja aku sebentar.

Tak ramai penumpang yang ada di dalam bas. Hanya terdapat seorang mak cik tua, beberapa budak sekolah memakai uniform pengakap, dan seorang lelaki Cina tua yang aku rasa dia tengah mabuk. Lelaki Cina tu sedang merokok masa aku naik tadi. Bila si konduktor bertanya di mana dia mahu turun, dia menjawab 'Tapah'. Di sinilah Tapah, kata si konduktor. Lelaki Cina tu menggelengkan kepala beberapa kali, mungkin untuk menyedarkan diri dan kemudiannya memberitahu dia mahu ke Sungkai.

Bas bergerak meninggalkan Tapah.

Thursday, October 25, 2012

Rokok Jepun

Aku terjaga jam 1045. Aku bangun dari tidur dengan pakaian yang sama macam malam tadi dan kasut masih belum dibuka. Aku tak ingat pukul berapa dan bagaimana aku balik ke hotel semalam. Aku melepak bersama seorang lelaki Cina berusia dalam lingkungan 40an bersama skandalnya dan tuan empunya kedai. Kami minum sambil bermain kad sampailah aku tak larat. Aku tinggalkan mereka awal, memberi alasan aku perlu bangun awal esok. Perkenalan dengan mereka sekadar kebetulan. Tiada orang lain di situ kecuali lelaki Cina itu dan aku. Mungkin tak cukup korum, mereka ajak aku join mereka bermain.

Jam 1045 adalah sangat lewat bagi aku. Aku tak sempat untuk ke Gunung Berembun pun. Kalau mahu ke Gunung Berembun, aku perlu bangun awal selewat-lewatnya jam 0730. Aku teringat ada bas ke Tapah jam 1100. Aku terus basuh muka, gosok gigi tanpa mandi, check out, dan berlari ke terminal bas. Sampai di terminal jam 1115. Tiada apa-apa bas di situ. Dengan harapan bas ke Tapah terlewat, aku bertanya kepada si penjaga kaunter bas. Katanya, bas ke Tapah baru sahaja berlepas tepat mengikut jadual. Bas seterusnya jam 1430. Jam 1430 sangat lewat. Aku tak kan sempat sampai ke KL sebelum malam. Aku bercadang mahu gunakan bas tempatan untuk ke KL.

Perut berbunyi, aku ke kedai mamak yang terletak bersebelahan dengan Bank HSBC untuk sarapan. Aku tersempak dengan Riz. Kali ni Riz nampak berbeza. Tidak lagi masuk air, dia berpakaian kemas dan sedikit terurus berbanding semalam. Mungkin mahu ke tempat kerja. Aku tanya dia alternatif lain untuk ke Tapah. Dia mencadangkan aku tumpang bas ekspress ke KL. Untuk menjimatkan kos, bas ke KL akan melalui Tapah, bukan Simpang Pulai. Aku habiskan makanan dan kembali ke terminal.

Ada bas ekspress ke KL sedang berhenti di situ. Mungkin baru sampai masa aku tengah makan dengan Riz tadi. Aku difahamkan bas akan bertolak jam 1230. Aku perhati keadaan sekeliling mencari mereka-mereka yang mempunyai rupa seperti seorang driver bas. Aku nampak ada seorang lelaki memakai jaket gelap, berkasut dan bertopi sedang merokok bersendirian tidak jauh dari tempat aku berdiri. Mungkin itu driver bas ekspress ni, fikir aku. Aku keluarkan rokok aku dan berjalan ke arahnya.

"Bang, ada lighter?", aku memulakan perbualan.

Walaupun aku ada tiga lighter in total dalam poket dan backpack, aku berlakon seolah aku tidak punya satu pun. Aku sudah kehabisan idea untuk memulakan perbualan dengan lelaki tu. Dia menghulurkan lighternya. Aku sambut, bakar rokok aku dan pulangkan balik. Masa mahu pulangkan lighter, aku bertanya adakah dia driver bas ekspress ke KL ni. Dia mengiyakan dan bertanya kenapa aku bertanya. Aku explain pada dia yang aku terlepas bas ke Tapah dan mahu menumpang basnya. Bukan sampai ke pekan, tapi sekadar sampai di Plaza Tol Tapah.

"Tak kan tumpang kosong je.", katanya sambil tersenyum.

Aku sedikit terkejut. Tak sangka akan keluar ayat tu dari mulut dia. Aku tak kisah mahu bayar tapi aku hanya ada sekeping note RM50 dalam poket. Kalau bagi duit tu, aku dah tiada duit. Tak kan aku nak minta refund balance dari dia kot. Ntah macam mana, aku teringatkan rokok Mildseven aku. Masih ada lagi 2 kotak yang belum dibuka dalam backpack. Aku beli 5 kotak masa aku tengah menunggu Jen di KL Sentral. Aku beli sebagai spare takut tak jumpa rokok Mildseven sepanjang perjalanan nanti. Bukan semua kedai ada jual Mildseven. Aku tak berminat dengan rokok lain.

"Abang pernah rasa rokok Jepun?", aku memancing. Dia geleng kepala sambil buat muka pelik. Dari raut wajah dia, aku tahu yang dia mahu. Aku keluarkan sekotak rokok Mildseven yang belum dibuka dan hulurkan pada dia.

"Inilah rokok Jepun. Abang tengok kat tepi ni ada tulis 'Japan International Tobacco'. Rokok Winston yang abang hisap tu rokok US. US derma hasil jualan rokok dia kat Israel, Jepun tidak. Secara teknikalnya, abang derma untuk peluru tentera Israel menembak rakyat Palestin tapi saya tak.", hujah aku panjang lebar. Aku sengaja berhujah sebegitu agar dia lupakan rasa tertipu dengan 'rokok Jepun' aku. Aku tahu dia mengharap aku keluarkan rokok yang betul-betul dari Jepun.

"Naiklah! Sampai tol Tapah je tau!", jemput dia dengan nada yang sedikit tak puas hati. Dah lah kena tipu, kena ceramah lagi. Aku cuma tersenyum, dalam hati aku ketawa. Kelakar tengok muka tak puas hati dia tu. Biarlah dia bengang. Yang penting aku dapat kenderaan untuk ke Tapah. Lagi pun aku fikir ini adalah win-win situation. Aku dapat tumpang, dia dapat sekotak rokok yang berharga lebih mahal dari rokok yang dia biasa hisap.

Aku duduk dihadapan sekali, betul-betul di belakang driver. Kerusi yang lain penuh. Bas bergerak perlahan menyusuri jalan bengkang-bengkok yang sempit. Sekali-sekala bas berhenti untuk memberi laluan kepada lori yang sama besar. Perjalanan ke Tapah melalui Lata Iskandar, air terjun kecil yang cantik di tepi jalan. Tidak ramai yang mandi di situ. Mungkin air terjunnya sangat deras masa aku lalu.

Di penghujung jalan kecil bengkang-bengkok Tapah-Cameron, aku ternampak ada satu signboard ke Hutan Lipur Kuala Woh. Aku tak pernah dengar nama Kuala Woh sebelum ni. Yang menarik perhatian aku, terdapat satu signage yang mengatakan mereka ada sediakan tempat untuk caravan. Ini sangat rare! Malaysia bukan negara yang mesra caravan. Belum pernah aku jumpa tempat yang menyediakan ruang khas untuk caravan. Ini kali pertama. Aku berhajat untuk ke sini nanti.

Driver bas menurunkan aku di bus stop taman perumahan sebelum simpang masuk ke Plaza Tol Tapah. Katanya aku lebih mudah mendapatkan teksi atau bas di sini berbanding di plaza tol. Aku tak tahu apa nama taman tu. Aku tak nampak apa-apa papan tanda pun.

"Ingat rokok Jepun!", aku menjerit dengan nada bergurau sebaik sahaja aku turun dan ucap terima kasih pada driver tu. Dia tersenyum. Mungkin marah dia sudah bertukar kelakar memikirkan yang dia dah tertipu dengan taktik bodoh aku. Dia angkat tangan, pesan jaga diri baik-baik dan berlalu pergi.

Tuesday, October 23, 2012

Comfort Zone

The further you get away from yourself, the more challenging it is. 

Benedict Cumberbatch


Teksi cibai tu menurunkan aku di Terminal Bas dan Teksi Tanah Rata, tempat yang sama aku turun masa mula sampai dari Ipoh. Selang beberapa minit, sebuah bas tempatan dari Kampung Raja tiba. Sekumpulan indon yang aku jumpa di Sungai Palas tadi turun dengan beg roda mereka. Kalau aku tunggu lama sikit tadi, aku mungkin boleh jimat duit aku. Tapi aku tak kan beli apa-apalah untuk Jen.

Aku berjalan di lot kedai berhampiran. Tujuan aku hanya satu, mencari hotel murah, bawah RM50 untuk satu malam. Aku melepasi restoran Marrybrown dan Starbucks. Seumur hidup aku, hanya sekali aku melepak di Starbucks. Masa tu aku, Jen dan Syed sedang menunggu seorang budak kolej yang mengupah Jen untuk siapkan assignment dia. Dia berjanji untuk bertemu di Starbucks Sunway Pyramid. Aku tak tahu apa yang menarik di Starbucks. Harga kopi dia terlampau mahal dan bukanlah sedap mana pun. Orang-orang yang melepak di situ semuanya hipokrit bagi aku. Demi status, sanggup menghirup kopi yang sama rasa tapi berkali ganda harganya dari kedai lain. Tanda protes, aku curi satu botol air mineral 500ml dari kaunter cashier Starbucks tu. Harga air mineral tu hampir RM10. Bodoh siapa yang beli.

Aku jumpa satu hotel murah sama baris dengan Maybank, terletak di atas pejabat Alam Flora. RM30 untuk satu malam. Bilik aku adalah bekas dapur yang diubahsuai menjadi bilik tidur. Kemasan marmar di setiap dinding. Kabinet dapur masih ada di situ, siap dengan dua sinki. Terdapat bekas corong asap yang sudah dicabut. Tiada kipas atau air cond, yang ada hanya kipas penyedut udara luar yang masih melekat di tepi dinding di atas pintu masuk. Perabot yang ada hanya katil queen size, meja solek kecil, almari kecil dan kabinet dapur yang aku cerita tadi. Tandas di luar. Aku tak kisah semua itu. Aku hanya sekadar mahu tidur dan bilik ni sesuai dengan bajet aku.

Aku tanggalkan semua pakaian aku yang lembab terkena hujan tadi. Yang tinggal hanya boxer. Aku tertidur keletihan. Aku terjaga lebih kurang jam 1830, bangun mandi air sejuk. Water heater di tandas tu rosak. Dengan keadaan cuaca hujan dan suhu Cameron yang sememangnya sentiasa rendah, aku menggigil kesejukan keluar dari tandas. Aku bersiap untuk turun makan, makan di food court berdekatan dengan terminal bas tadi dan terus naik ke hotel.

Aku rindukan Jen sebaik sahaja aku sampai di hotel. Hati kecil aku memberontak mahu pulang ke KL esok dan jumpa dia. Tapi aku tahu, kalau aku pulang ke KL, keadaan akan menjadi seperti dulu balik. Hati aku akan terseksa dengan perbuatan dia, dengan hubungan dia dan Ro. Aku berbelah-bahagi. Mahu pulang atau teruskan perjalanan. Aku jadi emo bila teringatkan kembali apa yang dia dah buat. Aku masih ingat masa aku korbankan masa tidur aku untuk bawa dia pergi kerja, perkara pertama yang dia buat masa naik kereta aku adalah mesej Ro. Aku masih ingat perkara pertama dia buat masa kami baru turun dari Gunung Nuang, dia mesej Ro dulu. Aku masih ingat dia berbalas tweet dengan Ro masa aku dan dia duduk makan semeja di Hayaki Damansara. Aku masih ingat dia pakai laptop aku untuk stalk Facebook Ro masa dia tengah tunggu aku mandi di rumah aku. Aku masih ingat dia bangun pagi-pagi buta semata untuk reply mesej Ro. Aku sedar masa tu tapi aku pura-pura tidur.

Aku luahkan emo aku di Twitter. Selang beberapa minit, aku terima panggilan dari kawan baik  Perkara pertama yang keluar dari mulut dia, aku ok ke tidak. Aku jawab aku ok, cuba menipu. Dia marah aku ke Cameron. Sini tempat orang honeymoon, tak sesuai untuk aku datang bercuti, katanya. Dia dalam perjalanan pulang dari dinner bersama rakan masa dia terbaca tweet emo aku. Risaukan aku, dia terus call.

Sebelum letak telefon, dia pesan suruh aku jaga diri dan keluar pergi minum dari duduk terperuk di bilik hotel. Cariklah tempat lepak, cadangnya.

Terharu dengan tindakan kawan baik  aku update Twitter aku. Mungkin terbaca tweet aku, Jen Whatsapp tanya kenapa kawan baik call, apa yang dia cakap, kenapa dia concern sangat dengan aku. Aku tak tahu itu tanda dia cemburu atau apa. Tapi dia marah betul. Dia cakap kalau kena time perempuan melayan aku takpe, tapi bila time dia, lelaki layan dia aku akan bising. Aku persoalkan aku dah lama berhenti melayan perempuan tapi kenapa dia masih nak buat. Aku ungkit pasal Ro. Aku bagi tahu dia aku sengaja update Twitter aku pasal kawan baik sebab aku tahu dia juga buat benda yang sama dengan Ro. Aku tahu pasal mesej dia dan Ro yang ada 'Baby' bagai.

Dia balas ini permainan dia, suka hati dia apa dia nak buat. Aku kena terima semua tapi aku tak boleh balas kalau aku betul-betul mahukan dia semula. Aku cakap aku juga punya permainan. Permainan yang aku tak kan bagi tahu dia apa sebenarnya.

Ya, aku memang punya permainan. Permainan yang terlintas di fikiran aku masa Syed dan Aiman bising aku sanggup jadi tunggul asyik mengejar Jen. Permainan yang aku rasa kalau aku mainkan, sampai bila-bila pun tidak akan ada lelaki yang mahu membina hubungan serius dengan dia. Tapi aku tak sampai hati nak mainkan permainan tu. Aku betul-betul sayangkan Jen.

Aku tidak punya perasaan untuk mengalah dengan Jen malam tu. Aku tak tahu kenapa. Biasanya kalau bergaduh dengan Jen, aku pasti mengalah. Mungkin sebab hati aku disimbah api teringatkan apa yang dia dah buat. Malas nak melayan Jen, aku reply 'Papelah'. Ayat mati aku setiap kali kami bergaduh. Ayat yang aku tahu, kalau aku pakai, Jen pasti bertambah berapi. Aku off handphone, charge kemudian cuba tidur.

Aku teringat kata-kata Aiman. Jen jadi macam ni sebab dia berada dalam comfort zone. Ro tak kisah untuk tunggu dia, aku pula tak kisah jadi tunggul melayan perangai dia. Dia tahu dia boleh terus bermain sebab dia tidak akan rugi apa-apa. Jika aku blah angkat kaki, dia ada Ro. Kalau Ro angkat kaki, dia ada aku. Oleh kerana dua-dua tak nak angkat kaki, dia terus bermain. Aiman selalu desak aku untuk paksa Jen buat keputusan pilih salah seorang. Jen tak boleh terus jadi selfish, katanya. Aiman siap offer untuk call Ro ajak berbincang dengan aku pasal hal Jen. Aku ada nombor Ro tapi aku tak pernah bagi pada Aiman.

Aku akui aku tak mampu nak buat semua yang dia suruh sebab aku terlalu sayangkan Jen. Aku tak nak kehilangan dia. Sampai satu tahap, aku tak kisah apa dia nak buat dengan Ro asalkan aku tak kehilangan dia. Mungkin bengang dengan tindakan aku, Aiman berhenti melayan cerita aku dan Jen. Dia tidak lagi melayan emo aku jika ianya berkaitan dengan Jen.

Memikirkan apa yang Aiman cakap dan apa yang selama ni berlaku buat aku tak boleh tidur. Aku pusing ke kiri dan ke kanan mengubah posisi tidur tapi masih tak boleh lelap. Aku nekad mahu keluar minum.

Sarung jeans, baju biru, sweater dan kasut, aku turun.

Kea Farm

Aku lari berpatah balik ke arah surau. Memang sukar berlari di jalan tar dengan backpack yang besar, kasut yang tapaknya hanya sesuai untuk offroad. Aku hampir terjatuh banyak kali. Sampai di surau, aku tak berhenti pun. Aku terus berlari ke arah kedai runcit kecil. Aku malu dengan surau suram tu. Lagi pun untuk berteduh di surau, aku perlu buka kasut. Proses membuka kasut ni mengambil masa yang lama. Mahu lencun dulu aku.

Aunty India yang menjaga kedai runcit tu hanya memerhati aku dari jauh. Dia sedikit pun tidak senyum, tegur aku pun tidak. Ada sebuah kereta Proton Saga lama yang berhenti tidak jauh dari kedai. Driver dia, seorang perempuan Melayu bertudung, umur dalam lingkungan 30an keluar dari kereta sambil membuka payung. Dia berjalan ke arah pejabat kesihatan dan keselamatan ladang. Mungkin staf pejabat tu, aku fikir.

Aku menunggu perempuan Melayu tu keluar dari pejabat. Aku mahu tumpang dia keluar. Aku memilih dia sebab dia seorang perempuan dan berbangsa Melayu. Pakej yang lengkap. Perempuan dan orang Melayu memang mudah bersimpati dengan orang lain. Dengan keadaan aku yang basah kuyup, buat muka innocent sikit, pasti dia akan tumpangkan aku ke jalan besar.

Lebih kurang 10 minit menunggu, dia masih tidak keluar. Aku berjalan ke arah parking lot bila aku mula rasa tidak selesa berteduh di kedai runcit kecil tu. Aunty penjaga kedai asyik memerhatikan aku. Seolah aku mahu mencuri barang perniagaan dia. Seolah aku akan menghalang pelanggan dia datang jika aku terus berdiri di situ. Aku berteduh di bawah pokok besar yang terletak di antara laluan keluar masuk kenderaan ke parking lot dan laluan ke arah kilang teh. Terlampau sejuk, aku merokok sambil menunggu perempuan Melayu tadi keluar dari pejabat. Hati aku berdoa agar hujan berhenti cepat. Hati yang lain mengejek, baru sekarang mahu ingat tuhan.

Seorang uncle India berlari dari arah kilang teh ke tempat aku berteduh. Aku sekadar senyum padanya. Aku punya teman berbual akhirnya. Dia memulakan perbualan menanyakan aku dari mana. Aku jawablah aku dari KL. Dia memberitahu dia juga dari KL, datang Cameron bersama keluarganya yang masih menikmati teh di kafe atas. Spesifiknya, dia tinggal di Kuchai Lama. Tak jauh dari rumah aku jika menggunakan jalan belakang berhampiran Salak Selatan. Bosan berdiri dalam sunyi, aku bercerita mengenai perjalanan aku dari Ipoh sampailah ke sini. Dia seakan kagum dengan cerita aku. Aku tinggalkan dia bila hujan hujan lebat bertukar renyai. Dia tak beri hint lansung yang dia akan tumpangkan aku. Dan aku pula tak beri hint lansung yang aku mahu menumpang dia.

Aku dongak ke langit, awan gelap sudah berlalu ke tempat lain. Mungkin hujan lebat tidak akan turun lagi. Aku nekad untuk berjalan keluar. Perempuan Melayu yang aku tunggu-tunggu dari tadi masih belum keluar. Uncle India yang aku borak tadi belum tentu mahu tumpangkan aku. Dari aku menunggu perkara yang belum pasti, baik aku teruskan berjalan. Aku berjalan lebih kurang 300 meter sehinggalah aku terdengar kenderaan di belakang aku hon berkali-kali. Aku toleh ke belakang.

Sebuah kereta Honda City Generasi Ketiga dengan lampu hazard menyala, berhenti di lorong memotong tidak jauh dari aku. Ada dua biji kereta di belakang dia menunggu dengan penuh sabar. Sebuah Perodua Myvi, sebuah lagi Toyota Hilux.  Dia hon lagi sekali bila melihat aku memerhatikan dia.

"Get in! Its raining. I send you to the main road." Uncle India tadi membuka tingkap sambil menghulurkan kepala menjerit kepada aku.

Aku tersenyum. Di dalam kereta, isterinya duduk di kerusi hadapan, anak perempuan dia dalam lingkungan sekolah rendah duduk di kerusi belakang. Dia menyuruh aku duduk di kerusi belakang betul-betul di belakang kerusi dia. Aku perhatikan dia seolah telah menyediakan ruang untuk aku duduk sebelum bertolak tadi. Tempat duduk aku dan anak perempuan dia dipisahkan dengan satu beg besar. Mungkin langkah berjaga-jaga untuk menumpangkan orang asing yang dia tidak kenal.

"Thank you. This is Bhajan right?" aku memulakan perbualan sebaik masuk ke dalam kereta, menanyakan tentang melodi yang keluar dari dari stereo kereta uncle tu.

Aku biasa bekerja dengan kaum India. Mereka cukup suka bila orang Melayu macam aku memahami atau sekurangnya tahu adat istiadat dan agama mereka. Baru betul 1Malaysia, kata mereka-mereka yang aku jumpa masa bekerja di Batu Caves.

Sepanjang perjalanan, kami berbual tentang banyak benda. Dari pekerjaan aku di KL, sehinggalah kisah kemalangan bas di Jalan Simpang Pulai. Uncle tu bekas pesara TM. Aku boleh nampak sticker kereta staf TM yang expired tahun 2010 terlekat di atas roadtax kereta dia. Si isteri tidak banyak cakap, anak mereka lansung tidak bercakap. Sepanjang perjalanan, aku lihat si isteri memegang erat kedua-dua tangannya. Mungkin dia takut melalui jalan sempit bengkang-bengkok yang menghubungkan ladang teh dan jalan besar. Setiap kali melalui selekoh tajam, dia akan mengarahkan suaminya membunyikan hon. Uncle India tu akur lalu membunyikan hon. Aku teringat status Facebook yang dikongsi oleh ramai rakan-rakanku. Rahsia untuk hubungan kekal lama adalah dengan mengucapkan tiga perkataan yang perempuan suka dengar, 'You are right.'

Uncle India menurunkan aku di simpang tiga sebelum masuk ke jalan besar. Aku turun dan seperti biasa, aku angkat tangan tunduk hormat dan perhatikan mereka berlalu meninggalkan aku. Dia membelok ke kiri, ke arah Kampung Raja. Aku tak sempat menanyakan nama uncle tu. Aku lintas jalan besar dan berteduh di bus stop tidak jauh dari tempat Uncle India turunkan aku. Hujan masih renyai-renyai. Terdapat sekumpulan Indon dengan beg-beg besar beroda berteduh di bus stop yang sama.

Tidak selesa dengan mereka, aku berjalan meredah hujan mengikut arus kenderaan ke arah Kea Farm. Aku melepasi Hotel Equatorial dan sebuah kedai borong yang menjual pelbagai produk Cameron Highland. Terdapat sekumpulan kakitangan kerajaan yang tengah shopping di situ. Dari cara pemakaian dan percakapan mereka, aku tahu mereka kakitangan kerajaan. Di seberang jalan, aku nampak bas dengan pelekat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Sah mereka kakitangan kerajaan!

Aku berteduh di kedai borong tu. Berpura-pura mahu membeli sesuatu, aku keluar masuk kedai konon mencari barang yang menarik untuk dibeli. Aku tak mampu untuk beli apa-apa. Bukan tiada duit, aku cuma takut duit aku tak cukup untuk kos perjalanan dan tempat tinggal kalau aku bazirkan dengan benda lain. Aku teringatkan Jen. Tiada apa-apa souvenir untuk dia pun sepanjang aku di sini.

Aku ke rak yang tersusun pelbagai jenis teh. Ada satu teh yang menarik perhatian aku. Design kotak teh tu cantik. BOH Seri Songket Earl Grey with Tangerine nama dia. Sesuai dengan nama dia Seri Songket, kotak teh tu dihias ala-ala tenunan songket. Aku capai juga teh BOH Lemon Myrtle Herb Bags sebagai back up takut Jen tak suka perasa tangerine. Kedua-dua teh ni aku ambil hanya semata kotaknya cantik. Total harga dua teh ni, hampir mencecah RM50. Cubaan meminta diskaun dari cashier tidak berjaya. Semua teh harga tetap, katanya.

Aku keluar dari kedai borong tu berjalan ke arah pekan Kea Farm. Otak aku melayang menyusun semula bajet perjalanan aku. Aku perlu mencari hotel yang berharga kurang dari RM50 untuk bermalam kalau aku mahu terus berjalan-jalan esok.

Hujan kembali lebat sebaik sahaja aku sampai di pasar pekan Kea Farm. Aku berteduh di sebuah kedai sayur yang dijaga oleh lelaki Bangla. Aku tanya dia berapa harga teksi untuk ke Tanah Rata, dia jawab RM3. Aku mencari teksi. Tak mampu lagi untuk berjalan meredah hujan lebat. Aku ada heavy duty poncho dalam backpack aku tapi aku tak tahu kenapa aku tidak keluarkan.

Sebuah teksi Proton Iswara berhenti. Pemandunya seorang lelaki India berumur dalam lingkungan 30an. Ada seorang bangla di tempat duduk hadapan. Aku terus naik tanpa bertanya berapa harga ke Tanah Rata. Pemandu teksi itu lansung tidak membuka air cond walaupun keadaan di luar hujan lebat. Cermin hadapan dan sisi habis berkabus. Aku tak tahu sama ada air cond dia rosak atau dia terlampau sejuk sampai tak mahu menghidupkan air cond.

Selepas bangla tu turun di pertengahan jalan, aku membuka mulut memulakan perbualan. Aku tanya berapa tambang ke Tanah Rata. Dia jawab RM10. Aku tengok batu tanda di tepi jalan menunjukkan lagi 11KM untuk sampai ke Tanah Rata. Dia charge aku RM1 untuk setiap kilometer perjalanan. Macam haram. Aku tanya dia lagi berapa harga kalau aku mahu turun di Brinchang. Aku boleh berjalan dari situ. Sekurang-kurangnya aku boleh jimat sikit duit. Pemandu tu menjawab harga sama RM10.

Dengan nada yang agak tak puas hati, aku suruh dia turunkan sahaja aku di Tanah Rata. Aku tidak punya pilihan. Aku dah naik teksi dia. Lagipun hujan lebat di luar. Aku diam sepanjang perjalanan tanda protes. Hanya kerana aku orang luar yang membawa backpack besar, dia charge aku lebih RM7 dari charge untuk orang tempatan. Aku terfikir, kalau aku, orang Malaysia sendiri dia charge RM10, berapa agaknya dia charge Mat Saleh yang naik teksi dia.

Sepanjang perjalanan aku menyumpah. Kalau di KL, nilai RM10 mungkin kecil bagi aku. Tapi bukan di sini, bukan masa dan ketika ini. Bukan di tempat yang aku tidak kenal sesiapa kecuali Riz dan Man. Bukan semasa aku perlu berjimat untuk pastikan aku selamat tiba di KL.

Monday, October 22, 2012

Ladang Teh BOH

Sometimes the heart sees what is invisible to the eye.

H. Jackson Brown, Jr. 


Aku suka tempat ni. Tenang, aman dan sunyi. Keindahan pemandangan ladang teh yang memenuhi bukit-bukau memang mempesonakan. Aku tak tahu nak gambarkan dalam bentuk perkataan. Ada orang cakap Ladang Teh Bharat jauh lebih menarik berbanding Ladang Teh BOH. Tapi aku tetap suka sini. Sebab sini jauh dari jalan besar. Jauh dari kenderaan yang lalu-lalang.

Aku menyusuri time tunnel untuk membaca sejarah penubuhan BOH. Turut dipaparkan kerja-kerja amal yang pernah disertai dan dianjurkan BOH. Konon untuk menonjolkan imej syarikat yang bukan hanya mementingkan keuntungan semata. Riz ada pesan jangan lupa untuk masuk ke dalam kilang memproses teh yang ada berdekatan dengan time tunnel tu. Aku batalkan hasrat untuk masuk lepas aku terdengar bunyi letupan kuat. Staf yang berdiri di situ beritahu yang mereka berdepan dengan sedikit masalah genset. Plug meletup kata mereka.

Aku ke The Tea Cafe, tarikan utama pelancong ke sini. Rekabentuk yang moden, tambah dengan keadaan sekeliling, kafe ni memang tempat yang menarik untuk melepak. Tapi sayangnya mereka tidak benarkan merokok semasa menikmati teh. Aku rasa kalau kafe ini tidak wujud, mungkin tak ramai yang mahu ke ladang teh ini.

Aku order teh Cameronian Gold Blend. Teh yang aku akan order setiap kali aku datang. Pertama kali dengan Hawa, kali kedua dengan Mat, Alang aku dan keluarga dia. Aku masih ingat pertama kali datang, aku order teh ni sebab nama dia bermula dengan Cameronian. Teh-teh yang lain mempunyai nama yang biasa bagi aku. Seorang yang tipikal, aku order lagi teh yang sama walaupun rasa dia bukanlah sedap mana. Aku tak mencuba pun teh-teh yang lain.

Aku tak tahu kenapa kenangan aku dan Hawa tak muncul lansung selama aku di sini. Aku hanya teringatkan Aiman, anak sulung Alang. Aku masih ingat dia menggigil di sini walaupun aku dah sarungkan sweater coklat aku. Dengan keadaan badan dia yang kecil dan sweater yang sangat besar, dia nampak sangat comel masa tu.

Teh dihidangkan dalam teapot sederhana besar. Susu dan gula diasingkan. Satu teapot, cukup untuk memenuhkan dua cawan. Cawan pertama, aku minum bersama gula. Cawan kedua aku tambah susu. Aku minum sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Hanya aku yang bersendirian di situ. Yang lain semuanya dalam kumpulan.

Habiskan teh, aku berjalan keluar sambil merokok. Aku tak bercadang untuk menumpang kereta sesiapa. Aku mahu berjalan kaki menikmati pemandangan. Aku nampak ada satu couple Cina tengah buat photoshoot gambar kahwin. Aku melepasi diorang. Jurukamera sekadar senyum. Mungkin mahu aku beredar cepat agar tidak mengganggu kerja dia. Si pengantin lelaki memakai suit hitam lengkap. Pengantin perempuan memakai gaun putih terdedah bahagian belakang badan. Penuh dengan jerawat badan dia. Mungkin menghidap resdung, kutuk aku dalam hati.

Aku berjalan melepasi parking lot khas untuk pelawat, rumah pekerja ladang, pejabat kesihatan dan keselamatan ladang, sekolah rendah Tamil, kedai runcit kecil dan surau. Aku kasihan tengok surau tu. Suram seolah sedih tiada pengunjung. Memanglah tiada pengunjung, majoriti pekerja ladang adalah India. Aku masih belum solat. Dari aku memulakan perjalanan di KL, sampailah ke Cameron, aku tak solat lansung. Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak semua lepas macam tu. Teruk betul aku. Walaupun aku sedar aku teruk, aku masih tak berhenti untuk solat di surau tu.

Aku teringat kembali masa awal aku dan Jen bergaduh. Masa Jen tinggalkan aku dan minta mahu sekadar berkawan. Aku emo tapi aku tak buat lansung benda-benda bodoh. Aku kembali kepada tuhan. Aku jaga solat aku, puasa aku. Masjid menjadi rumah kedua aku ketika itu. Satu perubahan besar sampai rakan aku segan dengan aku. Mana tak segan, aku buka puasa dengan kurma dan air kemudian terus solat Maghrib. Lepas Maghrib baru makan nasi. Mana tak segan, aku berhenti di Petronas hanya semata untuk solat. Mana tak segan, aku baca Quran masa mereka tengah seronok layan movie.

Selang beberapa bulan selepas tu, Biha tiba-tiba contact aku. Dia di Bangi, tengah kursus staf-staf baru Agrobank. Dia mahu mencuba burger bakar yang terkenal di KL. Pengaruh slot TV Jalan-jalan Cari Makan. Aku yang lahir dan membesar di KL pun tak pernah cuba burger tu. Tahu akan kewujudan ia pun tidak.

Biha adalah junior aku di MRSM. Aku tak ingat macam mana boleh kenal tapi aku ingat yang kitorang mula rapat lepas aku minta dari dia skema litar projek PMR Kemahiran Hidup. Aku perlukan skema tersebut untuk proposal Pertandingan Tunas Saintis, konon mahu mewakili maktab aku. Pengetua reject proposal aku hanya semata kumpulan aku penuh dengan mereka-mereka yang punya rekod disiplin. Kitorang menjadi abang dan adik angkat lepas tu.

Aku setuju untuk bawa dia keluar. Aku single sekarang. Aku kan dah ditinggalkan Jen, fikir aku masa tu. Aku ambil dia di Bangi, tempat yang terletaknya banyak pusat latihan untuk bank-bank dan syarikat korporat besar. Aku call Siti, bekas rakan sekerja aku untuk bertanya tentang lokasi burger bakar yang konon terkenal tu. Ada dua tempat, satu di Keramat, satu di Ukay Perdana. Aku memilih untuk ke Ukay Perdana sebab di situ kurang sesak. Tak sedap pun burger tu. Cepat muak dan mual.

Kitorang menjadi semakin rapat selepas tu. Dan ntah macam mana perasaan cinta muncul, kami declare couple. Tiada proposal dari aku, tiada soalan 'sudikah kau jadi teman wanitaku'. Kami terus declare couple. Memilih tarikh yang cantik untuk dijadikan anniversary kami.

Minggu-minggu berlalu, aku mula sedar yang ini semua satu kesilapan. Fizikal aku pada Biha, mental dan hati aku pada Jen. Aku teringatkan 'rebound effect' yang kawan baik pernah cerita kat aku. Aku jadi serba salah. Tak tahu bagaimana mahu menghentikan semua ini. Aku layankan sampailah Jen dapat tahu hubungan aku dan Biha. Masa itulah bermulanya kisah aku, Jen dan Ro. Dan selepas itulah berakhir kisah aku dan Biha. Aku terus-terang dengan Biha yang aku tak dapat lupakan Jen. Aku mahu kembali kepada Jen. Mungkin balasan aku memainkan perasaan Biha, Jen tak pernah kembali pada aku.

Aku teruskan perjalanan keluar dari Ladang Teh BOH. Aku berjalan betul-betul hampir dengan pokok teh. Aku tak mahu berebut jalan dengan kenderaan yang keluar masuk ladang. Jalan di situ sudah cukup kecil untuk dua kenderaan berselisih. Hujan renyai-renyai mulai turun. Aku berhenti sebentar mengeluarkan rain cover untuk backpack aku. Ada camera dalam backpack, itu yang paling penting untuk dijaga. Tiada tempat untuk berteduh. Tiada pokok besar untuk berlindung. Tempat paling dekat untuk berteduh, surau suram yang aku jumpa tadi. Itu pun sudah jauh aku tinggalkan. Alah, bukan hujan lebat sangat pun, aku fikir.

Elok aku fikir macam tu je, hujan lebat turun.

Sunday, October 21, 2012

Sungai Palas

Aku tiba di pinggir pekan Brinchang, berdekatan dengan Hotel Titiwangsa selepas lebih kurang setengah jam berjalan dari kafe Al-Mashoor. Kedatangan aku disambut dengan seorang lelaki tempatan yang tengah drift menggunakan motor Jaguh dia. Masuk air mamat ni aku rasa. Dia dikenali ramai. Hampir setiap kedai yang berdekatan dengan hotel tu tegur dia. Mungkin terkenal sebab perangai dia yang masuk air.

Aku berhenti makan di sebuah kedai di hujung blok hotel. Aku ambil nasi dengan lauk ikan dan telur, sumber protein untuk kekal bertenaga kononnya. Aku duduk di meja luar dekat dengan jalan raya. Aku memang suka duduk di luar kalau makan di mana-mana kedai makan. Senang nak merokok.

Tengah makan, sebuah kereta Perodua Kelisa datang. Ekzos besar kedabak. Driver Kelisa tu keluar. Lelaki berbadan besar, memang tak sesuai lansung dengan kereta. Masa dia keluar dari kereta, aku boleh nampak absorber Kelisa tu naik mendadak. Seolah absorber tu rasa lega tak perlu lagi menampung beban driver tu. Mamat tu makan kat sebelah meja aku.

Selang beberapa minit kemudian, mamat masuk air yang bawa Jaguh tadi datang. Dengan tak pakai helmet, mamat tu lagi sekali drift di hadapan kedai. Aku berharap sangat dia jatuh. Tapi sayangnya dia tak jatuh. Mamat masuk air tu berhenti turun dari motor dan berjalan ke arah meja sebelah  aku. Kawan rupanya mamat masuk air dengan driver Kelisa tadi. Mereka makan bersama.

Aku tengah nyalakan lighter aku untuk merokok masa mamat masuk air tadi tegur aku. Riz nama dia. Driver Kelisa tu nama dia Man. Riz tanya aku mahu ke mana, berapa hari nak stay Cameron, kenapa datang sesorang. Aku jawab nak tak nak. Aku susah nak berbual dengan orang yang aku tak kenal. Lagi pun aku teringat rule nombor satu travel sesorang, jangan biar stranger tahu ke mana kita nak pergi selepas berhenti di sesuatu tempat.

Mungkin sebab tengok aku jawab nak tak nak, Riz berhenti menanyakan soalan. Aku rasa bersalah pulak tetiba. Takut dianggap sombong, aku pura-pura tanya ada tak bas tempatan yang boleh bawa aku ke Sungai Palas, tempat terletaknya Ladang Teh BOH yang aku nak pergi tu. Aku tahu ada bas yang boleh bawa aku ke situ tapi aku sengaja tanya.

Seperti jawapan yang aku sangka, Riz jawab ada. Kata Riz, bas di sini tidak konsisten. Jadual mereka tidak teratur. Kadang-kadang lewat, kadang-kadang awal. Lagi pun bas tempatan hanya berhenti di pekan Sungai Palas, bukan sampai ke ladang teh. Aku perlu berjalan lebih kurang 1KM untuk masuk ke dalam ladang. Aku tahu semua tu. Aku tak kisah pun untuk berjalan masuk ke dalam sebab aku tahu sepanjang perjalanan masuk ke dalam ladang, kiri dan kanan aku akan dipenuhi dengan pokok teh. Aku boleh menikmati pemandangan indah tu nanti.

Man offer untuk menghantar aku sampai ke Sungai Palas. Riz pulak beriya nak ikut. Tanpa sedikit takut, aku terus setuju. Aku fikir, tiada apa yang perlu dirisaukan. Walaupun agak masuk air, aku rasa Riz tu baik. Man pula seperti seorang yang kerja kuat. Tangan kasar dan kotor. Kotor yang aku rasa ambil masa berjam untuk dibersihkan, itu pun lepas sental kuat dengan berus dawai. Kedua-dua mereka tiada rupa penjenayah. Rupa mahu ambil kesempatan dari segi duit mungkin ada. Aku berhati-hati dengan itu.

Aku padamkan api rokok, masuk ke kereta Man. Aku mulakan perbualan di dalam kereta dengan menanyakan tentang enjin Kelisa Man. Man bagi tahu Kelisa dia telah disalin enjin turbo. Aku boleh dengar bunyi wastegate masa dia memecut memotong lori sayur di hadapan kitorang. Riz menyampuk dengan memberitahu yang Man ni adalah seorang mekanik, punya bengkel sendiri di Kampung Raja. Tak hairanlah tangan Man kasar dan kotor.

Dalam perjalanan, Riz minta kebenaran aku untuk membalut ganja. Katanya, ini sahajalah hiburan mereka di Cameron. Mereka tidak punya wayang atau shopping kompleks untuk berhibur. Man menyampuk, dari minum arak baik layan ganja. Arak haram disisi agama, ganja hanya haram dari segi undang-undang, Man berhujah dengan aku. Aku diamkan je. Berlakon memahami situasi diorang.

Man mahu hantar aku sampai ke dalam ladang teh. Riz masih belum selesai membalut ganja lagi katanya. Kalau balut di jalan besar, mereka risau akan kereta peronda polis yang semakin banyak di Cameron Highland. Aku layankan je. Bagus juga mahu hantar sampai ke dalam, tak perlu aku berjalan jauh.

Man turunkan aku betul-betul di hadapan pintu kafe Ladang Teh BOH. Sebelum turun, Man sempat bagi tahu aku yang dia kagum dengan aku. Katanya dia tak mampu nak berjalan kaki dari Tanah Rata ke Brinchang seorang diri. Aku bertukar nombor telefon dengan Riz. Riz suruh aku telefon dia kalau aku tak dapat transport nak keluar nanti. Sekarang musim hujan katanya. Aku sekadar reply ok. Tak mungkin aku akan call mereka balik untuk ambil aku.

Lepas ucap terima kasih, aku turun dari kereta. Aku tunggu sampai mereka selesai buat pusingan U tiga penjuru, angkat tangan tanda hormat dan tengok mereka hilang dari pandangan mata aku. Aku berjalan masuk ke dalam kafe. 

Jungle Walk

Mengikut panduan, aku kena berjalan ke arah taman awam, berjalan melawan arus sungai sehinggalah jumpa satu jalan kecil di tepi hotel Pines Century. Dari jalan kecil tu, terus je sampai ke air terjun, ke Pejabat Hutan, kemudian ke Brinchang.

Aku ikut seperti yang apa yang disuruh. Untuk kepastian, aku tanya dua orang budak sekolah menengah yang duduk melepak di taman awam. Mereka tengah merokok masa aku sampai. Mungkin segan, mereka cepat-cepat sembunyikan rokok bila aku menghampiri mereka. Aku tersenyum. Teringat zaman MRSM dulu. Aku pernah di buang MRSM masa tengah menduduki peperiksaan SPM. Semuanya gara-gara rokok. Seronok semua warden. Mereka memang menunggu saat-saat manis untuk hukum aku. Aku dah banyak kali kantoi tapi warden tak boleh nak hukum aku berat sangat sebab mak angkat aku merupakan cikgu yang paling berpengaruh di MRSM tu. Pengaruh dia lebih dari pengetua. Masa nak kena buang tu, mak angkat cuma geleng kepala. Dia dah tak mampu nak back up aku dah. Aku terima dengan senyuman. Aku masih contact mak angkat aku tu. Cikgu Rosnah namanya. Aku bangga bila dia beritahu aku walaupun aku paling nakal dalam keluarga angkat dia, cuma aku seorang yang masih rapat dengan dia walaupun sudah berhenti sekolah.

Budak sekolah tu mengiyakan apa yang panduan bertulis tu beri tahu. Kata mereka, jalan yang aku nak pergi ni dinamakan Jungle Walk. Dan air terjun yang dimaksudkan itu nama dia Parit Fall. Parit Fall ni dulu cantik tapi sekarang dah tercemar. Lepas dari Parit Fall, aku akan jumpa jambatan gantung kalau aku ikut jalan yang betul. Lepas jambatan gantung, aku akan jumpa Pejabat Hutan. Kemudian aku kena ikut tepi kem askar, jumpa gereja, sampailah ke jalan raya di tepi padang golf. Jalan tepi padang golf tu akan bawa aku ke Brinchang.

Detail sungguh penjelasan budak sekolah tu. Aku ucap terima kasih, dan berlalu tinggalkan mereka. Aku jeling melalui anak mata aku, aku nampak mereka kembali membakar rokok bila aku dah jauh. Aku terus berjalan. Sunyi hutan tu. Parit Fall juga sunyi. Sepanjang perjalanan aku sunyi tanpa ada sebarang bunyi. Tiada bunyi burung atau serangga pun.

Sepanjang perjalanan aku nyanyi lagu Mati Hidup Kembali nyanyian Butterfingers. Ntah macam mana lagu ni boleh terlintas kat fikiran aku. Mungkin sebab rangkap awal dia bermula dengan 'Jalan raya terlampau sunyi..'. Aku minat Butterfingers. Bagi aku muzik diorang dan diorang sendiri cool dan sempoi. Tak macam band-band Indie yang lain, ahli-ahli Butterfingers semua berkerjaya tetap, professional dalam bidang masing-masing. Jadi aku tak boleh berharap mereka akan selalu keluarkan album baru. Dan kebetulan, ex boyfriend Jen, Pairjal juga minat Butterfingers. Huh.

Aku jumpa Pejabat Hutan. Aku tengok papan tanda untuk kepastian. Mencari kepastian sebab aku sampai cepat sangat. Mengikut panduan, perjalanan ambil masa 45 minit tapi aku habiskan dalam 20 minit. Mungkin aku jalan laju kot. Ada pelbagai papan tanda arah. Yang menarik perhatian aku, papan arah ke Gunung Berembun. Mengikut papan tanda, perjalanan ke puncak Gunung Berembun ambil masa 3 jam. Kalau papan tanda tulis 3 jam, aku mungkin boleh selesaikan kurang dari tu. Aku mahu ke Gunung Berembun. Ganti plan Gunung Irau yang tak jadi gara-gara teksi.

Aku hampir ikut arah ke Gunung Berembun bila aku sedar yang aku tak menjamah makanan lagi. Aku tak punya bekal makanan pun. Yang ada dalam backpack aku cuma 5 ketul Snickers yang aku gunakan sebagai back up makanan kalau sesat. Kalau aku makan Snickers ni, aku dah tak punya makanan back up. Aku turun balik ke jalan raya. Aku nampak satu perkampungan Melayu. Kampung Taman Sedia namanya. Dah kampung, taman pulak.

Aku masuk ke perkampungan tu. Tujuan aku satu, aku mahu makan. Mencari restoran atau sekurangnya warung atau gerai tepi jalan. Aku tak jumpa satu pun! Aku masuk ke satu kebun strawberry. Ada kafe di dalam kebun tu. Signboard besar terpacak 'Taman Agro Al-Mashoor'. Aku ingat nama Al-Mashoor ni. Aku pernah jumpa team mereka masa di Ekspo Business Matching di Mid Valley setahun yang lepas.

Di kafe Al-Mashoor, cuma ada jem, dadih, dan ais krim. Semuanya berasaskan strawberry. Tiada makanan berat. Aku tanya awek penjaga kafe tu mana nak cari kedai makan. Dia jawab paling dekat di Tanah Rata. Aku tak nak patah balik ke Tanah Rata. Terasa macam loser yang sesat kalau orang Tanah Rata jumpa aku keluar balik dari trek Parit Fall.

Aku beli 2 dadih. Makan macam orang baru jumpa makanan lepas sesat dari hutan. Aku perasan awek kafe tu pandang aku pelik. Macam mana orang Melayu dengan backpack besar boleh muncul di kampung dia jalan kaki seorang diri. Mungkin itu yang dia fikir.

2 dadih tak cukup untuk tampung perut aku. Aku nekad untuk ke Brinchang. Mungkin esok pagi aku boleh mulakan pendakian Gunung Berembun kemudian balik terus ke KL. Untuk hari ini, aku mungkin boleh jalan-jalan di Cameron Highland dulu. Aku bangun dari kerusi lepas habiskan 2 dadih dengan lajunya. Ucap terima kasih, kemudian terus keluar.

Ladang teh BOH. Aku nak pergi ladang teh tu. Aku terfikir masa aku berjalan-jalan di kampung yang sunyi tu. Aku teruskan perjalanan ke Brinchang. Apa yang budak sekolah tu cakap, semua aku jumpa. Kem tentera, gereja, padang golf. Ada satu couple mat saleh tengah main golf dekat dengan jalan aku. Aku sapa mereka dengan 'Hello', senyum, angkat tangan dan terus jalan. Kereta yang lalu-lalang tak banyak. Dan yang lalu semua pandang aku. Mungkin sebab aku orang asing. Mungkin sebab aku berjalan seorang diri. Aku memang suka menyendiri. Malah aku memang sendirian selama ini.

Tanah Rata

Perjalanan hampir 2 jam setengah aku tak terasa sangat. Fikiran aku kosong melayang-layang menikmati permandangan sepanjang perjalanan. Tiada siapa yang perasan. Bas lalu di perkampungan orang asli, air terjun kecil, dan gunung-ganang yang pasti ada kilang batu kapur di kakinya. Aku suka feeling ni. Feeling yang tak kan dapat dengan merokok berkotak-kotak rokok atau minum bergelas-gelas liquor.

Bas mula berhenti di Kg. Raja, pekan kecil di pinggir Cameron Highland. Kemudian ke Brinchang dan berakhir di Tanah Rata. Mengikut panduan dari forum OGKL, aku kena berhenti di Brinchang untuk dapatkan teksi ke kaki Gunung Irau. Sangkaan aku, bas akan berhenti di Brinchang sebelum ke Tanah Rata. Tapi sangkaan aku meleset. Aku sebenarnya kena beri tahu pemandu bas yang aku mahu berhenti di Brinchang, baru dia akan berhenti. Kalau tidak, dia akan teruskan je perjalanan ke Tanah Rata.

Aku perasan yang aku sudah terlepas Brinchang bila aku ternampak stesen minyak Petronas. Aku ingat tempat ni. Di sinilah aku, Kecik dan Jen berhenti masa kami ke Cameron Highland naik Neo aku semata kerana kami tak tahu apa mahu buat di malam minggu. Di sinilah aku dan Jen menghampiri sekeluarga Melayu yang naik Naza Ria minta ehsan pad sebab pad Jen dah penuh sangat masa tu. Di sinilah aku dan Kecik konon mahu mencuri minyak pelincir di Shell berhampiran tapi sebenarnya tong minyak pelincir itu kosong, dummy sekadar sample.

Bas terakhir berhenti di Tanah Rata. Aku turun. Cuaca di Cameron Highland masih macam dulu. Masih sejuk, masih gigil. Aku ke sekumpulan pemandu kereta sewa yang duduk melepak di situ. Untuk ke kaki Gunung Irau mereka charge RM100. Alasan mereka, jalan tak berapa elok, bengkang-bengkok sepanjang perjalanan. Aku kecewa. Aku tak punya bajet yang cukup untuk teksi. Aku boleh berjalan. Jarak perjalanan dari Tanah Rata cuma 15KM. Tapi aku tahu, aku tak kan sempat turun dan naik puncak sebelum gelap. Aku tak punya shelter untuk bermalam. Kecewa bertambah. Aku menyesal tak bawa sleeping bag aku. Sekurang-kurangnya ada juga shelter.

Aku ke food court berhampiran. Minum Nescafe O suam sambil online mencari idea apa yang aku boleh buat di Cameron Highland. Aku tak makan. Tidak selera untuk makan. Lagi pun perut masih kenyang dengan Nasi Lemak Ipoh tadi.

Mengikut sumber di internet, ada satu trail hutan dari Tanah Rata ke Brinchang. Tapi bukan sepenuhnya jalan hutan. Separuh jalan hutan, separuh lagi berjalan di tepi jalan raya. Jarak perjalanan lebih kurang 5KM. Ambil masa 45 minit jalan hutan, sejam 30 minit jalan raya. Dari aku duduk melepak tak tahu apa nak buat, baik aku berjalan. Aku bayar air aku dan berjalan mencari trail hutan tu berpandukan penjelasan bertulis dari internet yang aku jumpa tu.

Ipoh

Aku sampai di Ipoh jam 0045. Lewat 10 minit dari yang dijadualkan. Stesen Ipoh sunyi lepas semua penumpang yang naik tren dengan aku dah tinggalkan stesen. Yang tinggal hanya aku, dua orang gelandangan yang tumpang tidur di stesen, dan dua orang staff KTM yang menjaga kaunter tiket.

Aku cari power point untuk charge handphone aku. Charge handphone sambil online mencari terminal bas untuk ke Cameron Highland. Ada dua panduan berbeza untuk ke Cameron Highland dari Ipoh. Satu suruh aku ke Medan Gopeng, satu lagi ke Terminal Ipoh. Aku decide untuk ke Terminal Ipoh dulu, kemudian ke Medan Gopeng kalau tiada bas di Terminal Ipoh. Berpandukan peta Ipoh yang aku download, Terminal Ipoh hanya lebih kurang 500 meter dari Stesen Keretapi Ipoh. Aku boleh berjalan kaki.

Aku keluarkan buku Wild yang aku bawa. Dah lebih separuh aku baca. Buku biography karya Cheryl Strayed ini mengisahkan pengembaraan beliau mendaki Pacific Crest Trail selama hampir tiga bulan, seorang diri melayan emo. Cheryl baru sahaja memfailkan penceraian dengan suaminya dan kehilangan ibu kandung. Pendapat aku berdasarkan apa yang aku dah baca, Cheryl adalah seorang yang suka memberontak, emo, keras hati, masih mencari diri sendiri dan gila seks. Perangai sama macam Jen sekarang, bezanya Jen tak gila seks macam dia. Cheryl rasa mungkin selepas mendaki PCT, beliau akan menjadi seorang yang lebih baik.

Aku beli buku ni di MPH Mid Valley. Masa aku tengah tunggu Jen datang untuk teman aku shopping kasut dan seluar baru untuk majlis konvokesyen aku. Masa aku fikir Jen lambat sebab dia jumpa Ro dulu baru datang ke aku. Masa aku fikir tiada guna aku berbaik semula dengan Jen sebab aku rasa perkara lama akan menghantui balik aku dan dia. Masa aku fikir aku mahu angkat kaki blah dari hidup dia. Tapi macam biasa, bila aku jumpa dia, semua fikiran negatif itu hilang. Wajah dia tenangkan aku.

Aku bangun pagi jam 0630. Alarm handphone aku berbunyi. Alarm yang aku set untuk setiap hari kononnya untuk bangun subuh. Bangun basuh muka, stretching badan sikit, aku keluar dari stesen berjalan ke Terminal Ipoh berpandukan peta yang aku download sebelum aku tidur tadi. Jalan raya di Ipoh masih lengang. Hanya ada budak sekolah yang berjalan kaki ke sekolah dan beberapa pegawai polis yang baru habis syif kerja di balai berhadapan Stesen Keretapi Ipoh.

Bas ke Cameron Highland ada di Terminal Ipoh. Bas paling awal, jam 0800. Aku kecewa sebab bas yang aku bakal naik adalah bas ekspress, bukan bas henti-henti tiada aircond seperti yang aku harapkan. Aku beli tiket dan sarapan nasi lemak sama teh O ais di kedai berhampiran. Makanan di Ipoh lebih kurang KL. Sama mahal, sama kecil.

Aku perhati keadaan sekeliling sambil makan. Anjing bersepah di terminal. Bas-bas di Ipoh menampal muka MB Perak, Zambry Abdul Kadir besar-besar kat badan mereka. Lengkap dengan slogan 'Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir'. Aku tersenyum dengan Zambry. Menteri Besar yang dapat takhta bukan melalui pilihan raya tapi melalui hasil lompat katak ahli parlimen Pakatan. Timing diorang baik. Lompat lepas Anwar sibuk menjaja yang akan ada ahli parlimen BN nak lompat ke Pakatan untuk membentuk kerajaan baru. Anwar tak boleh cakap banyak lepas tu. Idea melompat adalah idea dia.

Dah jadi trend tampal muka ahli politik di pengangkutan awam. Kaedah retorik murah, efisien dan berkesan. Tiada siapa berani sabotaj. Kalau sabotaj boleh dakwa sebagai vandalisme harta awam. Cukup bijak. Najib mulakan dulu di KTM aku rasa. Habis semua stesen Komuter dan gerabak baru Komuter ada gambar Najib. Lengkap dengan slogan 'Sayangi Selangor'. Bak karya Zunar, Najib adalah 'Bapa Keretapi', mengganti Pak Lah yang menjadi 'Bapa Pembangunan Modal Insan'.

Bas bertolak lewat 5 minit dari jam 0800. Aku berkongsi bas dengan bangla-bangla dan indon-indon yang bekerja di Cameron Highland. Aku kagum dengan mereka. Berani meninggalkan kampung halaman ke negara asing demi mencari rezeki. Aku tak berani, serius tak berani.

Bas aku menggunakan jalan Simpang Pulai untuk ke Cameron Highland. Jalan alternatif bagi Jalan Tapah - Cameron yang kecil, bengkang-bengkok dan penuh dengan lori sayur yang langsi. Aku tak pernah lalu jalan Simpang Pulai ni. Ini kali pertama. Jalan ni jauh lebih besar, jauh lebih selamat tapi tak thrill macam jalan Tapah - Cameron.

Sepanjang perjalanan, aku dihidangkan pemandangan indah. Gunung-ganang dan bukit-bukau yang menghiasi banjaran Titiwangsa. Perak memang banyak gunung yang cantik. Tapi sayang banyak yang telah ditarah untuk mendapatkan batu kapur. Demi pembangunan kata mereka. Tahi lembu!

ETS

If I had a clone, he’d better be my equal, and not my better.
Can you imagine how I’d feel being jealous of myself?

Jarod Kintz


Aku pilih untuk ke Cameron Highland melalui Ipoh. Aku boleh terus ke Cameron Highland dari KL, ada bas express dari Pudu Sentral. Aku juga boleh turun di Tapah dan ambil bas biasa untuk ke Cameron Highland. Aku pilih Ipoh sebab aku teringin sangat nak naik keretapi ekspress ETS. KL Sentral ke Ipoh ambil masa 2 jam setengah katanya. 2 jam setengah itu kira laju untuk keretapi di Malaysia. Aku boleh sampai Ipoh dari KL dalam masa sejam. Tapi tu kena drive Airtrek lah. Aku pernah buat dulu masa nak keluar dinner dengan kawan baik kat Dataran Ipoh.

Aku sampai KL Sentral lebih kurang jam 1930. Memikul backpack Karrimor, pakai kasut Merrell dan baju MAKNA's Relay for Life yang aku dapat pada hari sebelumnya. Aku naik tren dari rumah ke Masjid Jamek, tukar tren untuk ke KL Sentral. Balik dari ambil Umi kat Kuala Selangor, beli dinner untuk dia, aku terus bertolak dari rumah. Jen akan datang ke KL Sentral untuk teman aku.

Sampai KL Sentral, aku terus beli tiket ETS ke Ipoh. Tren terakhir malam tu jam 2205. Aku dijangka sampai Ipoh jam 0035. Jen sampai lebih kurang setengah jam kemudian kalau tak silap. Dari office, dia park kereta kat Asia Jaya dan ambil LRT untuk ke KL Sentral. Tak perlu menghadap trafik yang sesak. Aku ajak dia dinner di Subway.

Aku tak pernah makan di Subway. Subway femes di US, tapi bukan di sini. Sandwich yang mahal dan besar. Hanya golongan kelas menengah yang mampu. Aku ajak dia ke sana bukan sebab aku memang teringin, aku ajak sebab aku teringat Ro pernah ajak Jen makan di Subway. Aku dan Jen tak pernah jejak kaki ke Subway. Bila aku tanya dia pernah tak datang Subway, dia cakap tak pernah. Yes, maknanya dia tidak ke Subway dengan Ro. Yes jugak aku jadi yang pertama bawa dia. Sampai macam tu sekali jeles aku. Macam budak kecik. Dalam hal cinta, aku memang kuat jeles. Aku akui itu.

Aku ternampak lelaki cina memakai baju yang sama dengan aku masa di Subway. Bezanya cuma warna. Aku biru cair, dia ungu. Tak sangka ada jugak yang berperangai macam aku. Suka pakai baju yang punya bukti aku pernah datang ke sesuatu event. Lepas makan, aku dan Jen pusing-pusing KL Sentral kemudian melepak di ruang menunggu ETS. Borak pasal berat backpack aku, pasal penulis buku Wild yang aku suka dan masih membaca.

Aku kena berada di dalam tren setengah jam sebelum tren bertolak. Jam 2115, aku hantar Jen ke LRT. Lepas ucap selamat tinggal bagai, dia kiss pipi aku. Aku kiss dia balik. Tiba-tiba aku jadi sayu. Aku berdiri berdekatan mesin tiket LRT dan tengok dia naik eskalator sampailah dia hilang dari pandangan aku.

Keluar merokok sekejap, aku terus turun ke platform ETS dan naik tren. Aku tanya awek si pemeriksa tiket ETS tu betul ke tren yang aku naik ni. Aku dengar pengumuman, tren ni nombor 05 tapi di tiket aku tulis tren 04. Awek tu balas dalam English, 'Yes sir, this is the right train.'

Tren bertolak tepat jam 2205 mengikut jadual. Banyak kerusi kosong. Berhenti di banyak perhentian, penumpang turun dan naik. Aku tak dapat nak tidur. Kerusi ETS tak selesa sangat. Sebijik macam kerusi Komuter, cuma bezanya kerusi ETS boleh adjust sandar ke belakang. Aku berkongsi koc dengan satu keluarga india yang cuba menipu umur anak kecilnya untuk mengelak membayar tiket. Si isteri memberitahu pemeriksa tiket umur anaknya 4 tahun. Bila si pemeriksa beri tahu umur 4 tahun ke atas kena beli tiket kanak-kanak, si suami tukar umur anak dia jadi 3 tahun pulak. Alasannya si isteri tersilap terlupa. Malas melayan karenah, si pemeriksa pergi macam tu je.

ETS suka menunjuk-nunjuk tentang kelajuannya. Setiap kali kelajuan tren mencecah 90km/j, TV kat depan aku akan paparkan kelajuan semasa tren. Aku tersenyum. Paling laju tren ni boleh pergi, 149km/j. Aku tak tahu sama ada tak boleh pergi lagi laju atau driver tak berani nak pecut lebih. Landasan keretapi di Malaysia ni tak cukup lebar untuk support tren berkelajuan tinggi. Aku assume ETS memang tak boleh pergi lebih laju dari itu.

Aku berbalas mesej dengan Jen sepanjang perjalanan sampai ke Tapah. Aku suruh dia tidur bila dia tanya aku jauh lagi ke nak sampai. Soalan yang beri petanda dia sudah mengantuk tapi mahu tunggu aku sampai Ipoh. Aku janji dengan dia yang aku akan bagi tahu dia bila aku dah sampai nanti.

Lepas Jen tidur, aku tertidur.

Gunung Irau

Along masih belum beri jawapan. Bajet untuk aku beli hammock dah lama habis. Hari yang aku rancang untuk ke Trans Titiwangsa dah dekat. Aku pening. Aku tak nak cancel semua plan. Walaupun Jen layan aku baik hampir setiap hari lepas keluar dari main badminton malam tu, aku tetap nak pergi. Aku masih set kat otak aku itu semua adalah sebahagian dari cubaan dia. Lagi pun aku mahu rasmi bladder baru.

Satu hari, Edy mesej aku. Group dia nak buat satu ekspedisi ke Gunung Irau. Dia tanya aku nak ikut ke tidak. 3 hari 2 malam, bayar RM100 untuk transport dan ration. Tanpa banyak soal, aku setuju. Aku terus bank in duit ke akaun dia.

Aku tak pernah dengar Gunung Irau. Search kat Google, aku dapat tahu yang gunung ni terletak di Cameron Highland, Pahang. Terletak di atas Gunung Brinchang, gunung ni boleh ditawan dalam masa satu hari, turun dan naik. Panjang trail hanya 2.35KM. Kalau nak advanture, daki Gunung Brinchang kemudian sambung Gunung Irau. Kalau malas, boleh drive sampai ke puncak Gunung Brinchang, kemudian daki Gunung Irau. Mereka tak plan untuk daki Gunung Brinchang.

Aku mesej Edy balik. Kenapa mahu ke Gunung Irau sampai 3 hari? Bukan ke gunung tu lepas kalau nak buat day trip? Aku soal Edy. Edy cakap mereka mahu naik untuk suka-suka. Memang boleh buat dalam sehari, tapi mereka tak nak rushing macam trip ke Gunung Nuang.

Dalam hati, ada sedikit menyesal terus setuju. Kalau sekadar 2.35KM mahu ambil masa sampai 2 malam, confirm proses pendakian itu akan menjadi sangat slow. Macam masa aku follow diorang ke Bukit Tabur. 5 minit jalan, 10 minit berhenti. Aku jadi rimas. Cepat penat, cepat malas.

Nak cancel, aku segan dengan Edy. Aku baru kenal Edy, baru dua kali jumpa. Sekali di Gunung Nuang, sekali di Bukit Tabur. Aku tak tahu hati budi dia macam mana. Tak kan aku nak mintak refund kot. Lagi pun aku dah janji dengan dia yang aku akan provide transport untuk team dia. Aku pujuk hati aku untuk layankan je ekspedisi group Edy ni. Lagi pun aku boleh belajar sedikit sebanyak dari diorang tentang ration. Aku masih tak pandai nak bajet kuantiti ration yang diperlukan untuk bermalam di tengah hutan. Dan kalau nasib aku baik, aku boleh kenal awek-awek forever alone yang bersepah dalam group Edy.

Entah macam mana, aku terfikir. Apa kata aku ke Cameron Highland je panjat Gunung Irau. Sekurang-kurangnya aku tak perlu pening kepala nak fikir pasal shelter. Bajet untuk shelter dah tiada kalau aku mahu teruskan plan ke Trans Titiwangsa. Along masih diam membisu. Tak mahu sponsor lah tu. Lagi pun aku boleh survey tempat dulu untuk diorang. Boleh jadi hero sikit.

Aku bagi tahu Jen aku mahu ke Gunung Irau. Dia macam sedikit risau. Aku explain yang Gunung Irau lebih mudah dari Gunung Nuang. Mudah dari segi jarak perjalanan. Aku tak bagi tahu dia yang Gunung Irau ni terletak di Cameron Highland. Aku tak nak jadi isu sebab aku pernah ke Cameron Highland dengan Hawa, ex girlfriend aku sebelum dia. Walaupun hakikatnya aku dah tiada hati dan perasaan pada Hawa, aku tetap malas nak bagi tahu Jen. Malas nak timbul isu. Sehari sebelum bertolak baru aku bagi tahu.

Kenapa aku masih nak jaga hati dia? Aku pun tak tahu.

Aku beli kasut Adidas Kampung. Kasut yang terkenal dikalangan hikers otai. Kasut yang mereka rasa lebih sesuai dengan keadaan hutan Malaysia berbanding kasut-kasut hiking ciptaan mat saleh yang mahal tu. Kasut ciptaan mat saleh hanya sesuai untuk hutan mereka. Tanah di hutan Malaysia punya elemen yang akan merosakkan kasut biasa, kata mereka.

Kasut ni harga dia cuma RM8.50. Kasut getah bertapak ala boot bola sepak. Biasa digunakan oleh penoreh getah untuk keluar menoreh. Susah nak cari kasut ni di KL. Aku jumpa di Jalan Klang Lama, lepas hampir sejam mencari; di Google. Aku beli bukan sebab otai pun beli. Aku beli sebab aku sayang nak kotorkan kasut Merrell aku dengan lumpur Gunung Irau. Ramai kata trek Gunung Irau berlumpur sepanjang musim.

Plan Trans Titiwangsa cancel, Gunung Irau on. Confirm. 

Saturday, October 20, 2012

Hennessy Hammock

When we don't know who to hate, we hate ourselves.

Chuck Palahniuk


Ada RM4000 dalam akaun Bank Islam aku. Aku keluarkan sedikit demi sedikit untuk belanja harian aku. Petrol dan tol Airtrek, makan minum dan rokok. Aku banyak merokok sejak kebelakangan ni. Kalau dulu, sekotak Mildseven aku tu boleh bertahan 48 jam. Sekarang paling lewat habis 24 jam, paling cepat 10 jam. Aku asingkan RM2500 untuk beri pada Umi (ibu aku). Dia dah banyak keluar duit untuk aku. Kini masa balas budi. Masa bayar hutang sebenarnya. Selebihnya, aku gunakan untuk persediaan plan Trans Titiwangsa aku.

Benda pertama aku beli adalah bladder. Bagi sesetengah orang, bladder adalah satu kehendak, bukan keperluan. Boleh je nak bawak botol air kalau nak. Bagi aku, ia adalah satu keperluan. Sebab pertama, bladder akan menjimatkan ruang backpack aku. Hampir kesemua backpack ada ruang khas untuk bladder. Aku boleh isi benda lain yang lebih penting dari sumbat botol air besar. Sebab kedua, campaklah dari tinggi mana sekali pun, tindihlah dengan beban berat mana sekali pun, bladder tidak akan pecah macam botol air biasa. Bladder ini diperbuat daripada material TPU, material sama yang digunakan untuk buat pelampung hovercraft. Memang tahan lasak.

Aku ke Taman Tun Dr. Ismail bersama Syed untuk mencari bladder. Kata Aiman, sebaris dengan branch Celcom Taman Tun ada satu kedai basikal yang jual bladder murah. Aku nak brand Camelbak, tapi untuk kapasiti 3 liter, Camelbak punya dah habis. Salesman tu offer aku Osprey. Katanya kualiti Osprey sama bagus dengan Camelbak. Aku pun ambil je lah. Dia suruh beli cleaning kit sekali. Aku tengok harga cleaning kit tu, aku senyum kat dia. Aku cakap aku boleh bersihkan bladder ni pakai berus pembersih botol susu anak buah aku yang berharga hampir seratus kali ganda lebih murah. Dia gelak.

Kami ke SS2 selepas tu. Aku tahu ada satu kedai menjual barang outdoor di situ. Aku nak cari boot baru. Boot aku jahanam masa aku turun dari Gunung Nuang dengan Jen. Harga boot yang aku minat, brand North Face, kurang 10 sen nak sampai RM500. Aku minat, hampir nak beli, Syed cakap jangan. Belek first aid kit Swiss Army, harga RM82 complete set siap dengan water proof case, nak beli, Syed kata jangan. Aku keluar kedai dengan tangan kosong. Kami ke Masjid Jamek beli backpack Karrimor aku selepas tu. Aku perlukan backpack yang lebih besar dan selesa banding backpack Deuter aku.

Aku order online kasut Merrell. Alternatif lain bagi North Face. Kualiti hampir sama cuma lebih murah. Sampai dalam masa satu hari dari Penang. Aku order color code Khaki, dia hantar kasut warna khaki. Merrell ni pelik sikit. Kasut yang berwarna khaki color code dia Grey. Kalau color code dia Khaki, warna dia hijau gelap. Terdesak, aku layankan je lah pakai. Seller tu mintak maaf, offer untuk tukar tapi aku malas nak pos balik. Lagi pun aku perlukan cepat.

Teruja dengan benda alah ni semua, aku ambil gambar dan upload kat Twitter aku. Keesokan paginya, Jen tiba-tiba hantar mesej marah aku ikut perasaan habiskan banyak duit. Aku tak reply. Aku kan dah nak blah dari hidup dia.

Perwatakan Jen dan aku memang berbeza. Jen cukup cermat berbelanja. Aku, selagi ada duit, selagi itu aku akan habiskan. Tapi aku suka buat dia tersenyum masa kami masing-masing dah pokai habis. Aku akan keluarkan simpanan rahsia aku. Baik dalam bentuk duit syiling, mahu pun duit kertas RM1 dan RM5. Boros macam mana sekalipun, aku akan pastikan aku ada simpan duit back up. Duit back up tu aku bahagi sama rata. Tak sama rata sangat pun. Biasanya aku lebihkan dia.

Aku buka Twitter Jen. Dia sambung marah dia kat aku kat Twitter dia. Cerita pasal duit jatuh dari langit dan blablabla. Aku scroll ke bawah lagi. Aku susah hati. Dia cerita dia ke pasar malam dengan duit beberapa ringgit di poket. Aku bertambah susah hati bila teringat dia marah aku boros belanja. Aku takut kalau aku bagi dia duit, dia akan anggap aku cuba nak tutup mulut dia.

Aku nekad ke CIMB. Aku bank in RM100 dalam akaun dia, aku update Twitter bagi tahu yang aku ada bank in duit dan aku sayang dia. Aku diam. Tak lama lepas tu dia Whatsapp aku. Ayat first dia, 'I love you too.'

Dia cakap aku tak kan boleh benci dia sama macam dia tak boleh benci aku. Aku bagi tahu yang aku tak kan tackle dia balik. Aku nak jaga hati aku gak. Kalau ada jodoh, baiklah kita macam dulu. Kalau tiada, aku anggap je lah ada yang lebih baik untuk kita. Dia tanya, dia masih boleh keluar dengan aku ke tidak. Keluar tengok wayang, main boardgame. Aku cakap kalau dia yang ajak, aku akan keluar. Tapi aku tak kan ajak dia. Dia reply dengan emoticon smile. Malam tu kami keluar. Main badminton.

Barang untuk plan Trans Titiwangsa dah hampir lengkap. Tinggal shelter je belum beli. Aku tak tahu nak beli tent atau hammock. Tent lebih selesa, hammock lebih selamat. Aku rasa mungkin aku patut beli hammock. Hammock lebih ringan nak bawak. Otai hikers recommend beli brand Hennessy. Aku survey, untuk size badan aku, aku muat untuk beli Hennessy Scout. Paling kecik dan yang paling penting, paling murah. Tapi murah-murah dia pun RM400 gak. Aku ada duit nak beli tapi kalau aku beli, bajet untuk belanja harian akan berkurang. Aku cuba melobi Along aku.

Along aku, juga lepasan degree dari UM. Beza dia dan aku, dia ada diploma dari Maktab Perguruan Ilmu Khas. Dia jadi cikgu ajar anak-anak slow learner dekat sekolah di Hulu Langat. Gaji dia, campur elaun itu ini, cecah RM4000. Tinggal di perkampungan pondok di pendalaman Hulu Langat. Rumah free, air free, elektrik subsidi. Dia ada buat buat bisnes jugak. Supply kek dan kuih-muih untuk syarikat katering. Dia hidup serba sederhana, zuhud. Harta dia cuma sebuah rumah kecil yang suami dia sendiri bina atas tanah wakaf, sebuah kereta Proton Wira SE, dan sebuah rumah sewa di pekan kecil juga di Hulu Langat. Pendapatan tinggi, perbelanjaan rendah. Itu Along aku.

Aku mesej dia mintak sponsor beli hammock. Seperti biasa dia tanya, untuk apa, perlu ke, tiada alternatif lain ke, nak pakai selalu ke. Aku jawab kesemua soalan dia. Tiada jawapan dari hari ke hari. Aku memang tak kan call kalau tiada jawapan. Aku akan tunggu je mesej dia. Itu cara aku dan Along aku.

Dari hari ke hari, duit aku berkurangan.

Trans Titiwangsa

Keadilan itu adalah dendam. Kau berjuang untuk keadilan kau, aku berjuang untuk keadilan aku. Hakikat sebenarnya, kita bukan berjuang untuk tegakkan keadilan tapi berjuang untuk lunaskan dendam masing-masing. Dendam datang dengan api kemarahan dan kebencian. Dan apabila api ini menyelubungi manusia, maka musnahlah keseluruhan umat. Kemusnahan ini datang dengan kesakitan. Kesakitan yang akan dirasai berkurun lamanya

Naruto Shippuden


Terdapat 12 gunung di Malaysia yang mempunyai ketinggian lebih dari 7000 kaki. 7 di Semenanjung, 5 lagi di Sabah dan Sarawak. 7 gunung ini dipanggil G7, manakala 5 lagi termasuk dalam kumpulan G12 (gabungan Semenanjung dan Sabah Sarawak). Tiada istilah G1, G2, G10 atau sebagainya. Bila pendaki mahu merujuk kepada salah satu gunung dalam kumpulan G7 atau G12, mereka hanya terus sebut kumpulan G7 atau G12.

G7 terdiri daripada Gunung Tahan (7179 kaki), Gunung Korbu (7162 kaki), Gunung Yong Belar (7156 kaki), Gunung Gayong (7129 kaki), Gunung Chamah (7123 kaki), Gunung Yong Yap (7113 kaki), dan Gunung Ulu Sepat (7090 kaki).

G12 adalah gabungan G7 bersama Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi, Gunung Tambuyukon, Gunung Murut dan Gunung Mulu.

Pendaki dari Semenanjung yang ingin menawan puncak Gunung Kinabalu kebiasaannya akan menghabiskan kesemua G7 sebelum bertolak ke Sabah. Bagi sesetengah pendaki, ia kononnya untuk membuat persediaan mental dan fizikal. Hakikatnya, Gunung Kinabalu lebih mudah ditawan berbanding dengan G7. Walaupun ketinggian Gunung Kinabalu melebihi ketinggian gunung-gunung G7, trek Gunung Kinabalu lebih mudah. Pendaki tidak perlu membawa beban ration dan juga shelter. Segalanya telah tersedia di atas. Tempat tinggal ala resort, makanan mewah, tandas selesa semuanya ada. G7 tidak menyediakan tandas, apatah lagi restoran atau sekurang-kurangnya warung kampung di puncak, mahu pun sepanjang perjalanan. Segalanya perlu dipikul dari bawah.

Idea untuk menawan G7 timbul bila aku secara tidak sengaja terjumpa peta trek Gunung Yong Belar, Gunung Gayong dan Gunung Korbu. Ketiga-tiga gunung ini terletak berdekatan antara satu sama lain, hampir sebelah-menyebelah. Trek ini menyambungkan Blue Valley di Cameron Highland dan Ulu Kinta di Perak. Trek ini dikenali sebagai Trans Titiwangsa dan berdasarkan peta yang aku jumpa, ikut kemampuan aku, ia mengambil masa 5 hari untuk diselesaikan jika aku memulakan pendakian di Blue Valley.

Aku terjumpa peta trek ni masa aku sibuk mencari gunung-gunung yang boleh aku tawan dalam masa sehari, yang terletak di antara KL dan Pulau Langkawi. Aku mahu backpacking ke Pulau Langkawi membawa diri selama seminggu dan aku tidak berhajat untuk camping di tengah hutan. Sebab tidak mahu camping, aku masih belum ada shelter yang lengkap. Aku cuma ada sleeping bag dan sekarang musim hujan. Aku mahu ke Pulau Langkawi semata untuk bawa pulang seberapa banyak karton yang boleh, rokok Mildseven Charcoal Filter kegemaran aku. Punca utama mahu backpacking, aku emo dengan Jen. Dah jumpa peta ni, aku nekad untuk tawan Trans Titiwangsa. Shelter boleh dibeli. Aku ikut perasaan. Aku memang suka. Itu kelemahan aku.

Aku emo sebab aku terasa seperti dipermainkan bila dia tidak mencuba sepenuhnya untuk berbaik semula dengan aku. Sebab aku terasa begitu, dia masih lagi keluar dan contact hampir setiap hari dengan Ro sedangkan dia telah bersetuju untuk mencuba memperbaiki hubungan aku dan dia, kembali macam dulu balik. Dan juga sedangkan dia tahu yang Ro menaruh hati pada dia.

Ro, mamat yang Jen jumpa di Port Dickson sekitar Ogos 2012 masa dia tengah emo dengan aku. Dia emo sebab aku memilih untuk merahsiakan hubungan aku dengan Biha. Dan juga sebab aku memilih Biha berbanding dia masa aku disuruh membuat pilihan. Aku di Mersing, rumah keluarga Biha masa Jen ke Port Dickson membawa diri. Dari Mersing, aku terus ke Port Dickson mencari Jen berpandukan mesej dari Friend Finder Digi selepas rakan aku beri tahu yang Jen ke Port Dickson sesorang. Masih tidak jumpa, aku call Jen berkali-kali dan akhirnya dia angkat. Aku jumpa dia di restoran bersama seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Fadzlie, a.k.a Ro.

First impression, sebelum dia memperkenalkan diri, serius aku ingat Ro ni India. Sejak bila pulak Jen berkenan nak berkawan dengan lelaki dari kaum sejenis dia ni, hati aku terdetik. Tindik sana-sini, dress up ala budak hip hop. Siapa lagi yang suka berpakaian sebegitu. Aku cuba berfikiran positif. Mungkin hati dia baik, cuma penampilan dia sahaja yang begitu. Aku dapat tahu yang mereka berkenalan di group Gen2 kat forum Lowyat, sambung kenalan di Facebook sehinggalah Jen ajak Ro buka akaun Twitter. Ro takde Gen2, Ro pakai Waja yang diberi nama Wolfy. Aku tak tahu macam mana Ro boleh sesat di group Gen2.

Jen ajak Ro ke Port Dickson melalui Twitter. Plan asal, Ro mahu ke Genting Highland melayan emo sendiri.  Jen ternampak status Ro di Twitter dan mengajak Ro datang ke Port Dickson untuk melayan emo bersama. Ro beri nombor telefon dia kat Jen melalui direct message di Twitter. Mereka bertambah rapat sejak bertemu di Port Dickson.

Macam mana aku tahu semua ni? Sebab aku ada degree Computer Science dari UM. Kehkeh..

Bila aku tanya Jen kenapa nak mencuba dengan aku sedangkan masih contact Ro, masih rapat dengan dia. Jen jawab sebab aku sayang dia. Aku dah buat luka teruk kat hati dia dan dia perlukan masa untuk sayang aku balik. Aku kena faham situasi dia sekarang dan aku kena terima. Aku kena sabar dan aku kena tackle hati dia balik. Aku tanya lagi apa akan terjadi bila cubaan untuk memperbaiki hubungan aku dan dia tidak berjaya, dia jawab terpulang pada aku. Aku boleh pergi dari hidup dia atau kekal sebagai kawan.

Bila aku tanya adakah ini satu cubaan untuk bagi aku rasa apa yang dia rasa selama ni, dia jawab aku boleh cakap apa yang aku nak cakap. Aku tak faham situasi dia sekarang, jawapan standard dia dari dulu. Bagi aku, ini semua dendam lama. Cubaan untuk wujudkan keadilan.

Dia tahu aku sayangkan dia. Sayang macam orang yang dah kena minyak pengasih. Jadi tunggul. Aku diberi harapan, dipeluk, dicium. Dan dalam masa yang sama, aku disakiti dengan menggunakan Ro sebagai medium. Sayangnya, kedua-dua lelaki ini buta. Buta cinta.

Bila ditanya apakah maksud ini semua. Dia jawab, ini semua termasuk dalam salah satu percubaan. Percubaan untuk sayang aku balik. Permainan dia, cara dia. Kalau mahu terima, tak mahu boleh angkat kaki. 

Ini dendam, hati kecil aku memberontak. Aku bagi tahu Jen aku nak angkat kaki, blah dari hidup dia.

Maka wujudlah plan Trans Titiwangsa.

Friday, October 19, 2012

Three Strengths

Aku buat blog baru lagi. Kali ke berapa, aku dah lost count. Blog ini adalah hasil cadangan Jen, ex girlfriend aku.  Dia cadangkan aku blog tentang perjalanan hobi baru aku ni. Aku nak cakap girlfriend di sini, tapi lepas bayangkan dia selalu kenalkan aku sebagai ex dia kat kawan-kawan dia, mungkin dah sampai masanya aku tukarkan dari 'girlfriend' kepada 'ex girlfriend'.

Kisah aku dan dia sangat complicated. Sama ada aku yang buat complicated atau dia yang buat, biarlah orang ketiga yang tentukan. Kalau tanya aku, aku akan cakap dia. Kalau tanya dia, mesti dia akan jawab aku yang buat.

Blog ini untuk aku catitkan cerita tentang perjalanan hobi aku yang baru. Hobi backpacking dan mendaki bukit dan gunung sesorang. Idea untuk hobi baru ini timbul bila aku dan seorang kawan baik berbalas mesej di Whatsapp, aplikasi untuk berbalas mesej di semua jenis smartphone untuk cheapskate macam kitorang. Berbalas mesej di Whatsapp hanya memerlukan data. Caj data untuk pengguna Tunetalk macam aku hanya 5 sen untuk setiap MB. Satu MB boleh hantar beribu mesej. Kalau pakai SMS, satu SMS 5 sen. Boleh jimat banyak di situ.

Aku mula kenal kawan baik masa di pertengahan tahun 2008. Dia budak satu batch dengan aku masa aku di Universiti Malaya dulu. Tapi rapat kami takdelah rapat mana. Aku dan dia sekadar tempat berkongsi masalah. Dia akan contact aku bila dia ada masalah, aku akan contact dia bila aku ada masalah. Lepas selesai masalah, masing-masing diam. Lepak hanya bila jumpa di fakulti masa aku dan dia tiada apa nak buat. Kami declare sebagai kawan baik. 'Kawan baik' ikut definisi kami bukanlah kawan yang sentiasa rapat ke hulu ke hilir, tapi kawan yang sentiasa ada masa susah dan tidak semestinya dijemput masa gembira.

Seperti biasa, jika ada masalah yang aku tak boleh selesai, aku akan contact dia untuk mengadu. Aku contact dia untuk mengadu masalah aku dan Jen. Masalah yang melibatkan aku, Jen dan Biha. Aku cerita semua dari A sampai Z. Siapa Biha? Aku akan kenalkan Biha dan cerita kisah kami bertiga sepanjang aku buat catitan perjalanan hobi aku dalam blog ni. Korang kenalah rajin bukak blog ni kalau nak tahu. Ngee~

Kawan baik beri nasihat, mungkin aku perlu buat sesuatu yang baru untuk buat aku lupakan masalah aku. Sesuatu yang aku dan Jen tak pernah buat. Biar perkara ini semua berlalu tanpa perlu fikir banyak. Aku lelaki, tiada masalah untuk mencari perempuan lain, kata kawan baik.

Lepas dia cakap macam tu, aku teringatkan Gunung Nuang. Puncak tertinggi di Selangor, gunung yang aku nak sangat panjat tapi Jen tak bagi. Katanya aku belum bersedia lagi. Mungkin dia anggap aku tak cukup stamina untuk mendaki. Kalau aku mampu angkat 1000 kotak puree India yang berat setiap satu kotak 22kg dari kontena turun ke gudang company aku, apa lah sangat nak dibandingkan dengan memanjat gunung tu.

Esoknya, aku siapkan list barang yang aku rasa aku perlu bawak dan gerak ke Masjid India kemudian ke Tesco Ampang. Aku beli backpack Deuter, sedikit ration, sleeping bag dan pisau lipat. Aku nekad mahu tawan Gunung Nuang sesorang. Tapi aku tak berjaya pun masa cubaan pertama. Aku berhenti dekat Kem Pacat, lagi satu checkpoint lagi untuk ke puncak. Aku berhenti sebab aku kira aku akan tiba lewat di puncak, takut gelap.

Masa di Gunung Nuang, aku kenal dengan Edy dan Man. Dua orang rakan yang aku rasa mereka sesuai untuk menjadi pasangan gay. Man seorang yang sedikit keras perwatakannya, Edy pulak lembut. Mereka mempunyai satu group yang memang rajin memanjat bukit dan gunung. Kami bertukar nombor telefon.

Cubaan pertama tawan Gunung Nuang yang gagal dan perkenalan dengan Edy dan Man buat aku makin minat dengan hobi baru aku ni. Aku rasa hobi ni buat aku bertukar menjadi seorang yang makin tabah. Seorang yang menghargai nikmat kesenangan. Dan membuatkan badan aku menjadi bertambah tahan lasak, tidak lagi lembik. Yang paling penting, hobi ini mampu mengalih fikiran aku dari memikirkan Jen.

Aku tawan Gunung Nuang dua kali lepas cubaan pertama gagal. Sekali berdua dengan rakan UM aku, lagi sekali dengan Jen. Kedua-duanya aku habiskan dalam masa sehari.  Aku panjat pulak Bukit Tabur ikut trail Far East dengan group Edy dan Man. Bila duit biasiswa aku masuk secara kesilapan walaupun aku dah habis belajar, aku beli kasut Merrell, backpack Karrimor dan bladder 3 liter Osprey.

Kewujudan benda alah mahal ni menyuntik semangat baru kat aku. Ianya seolah beri kekuatan tambahan. Aku tahu itu semua efek psikologi tapi siapa kisah? Aku mampu untuk berjalan kaki lebih 30KM dengan tiga benda alah ni. Itu sudah cukup bagus. Sebab tu aku namakan blog ni Three Strengths, sempena kekuatan baru yang tiga benda ni bagi kat aku.