Cuaca panas di sini. Aku tak tahu aku di mana. Di belakang aku ada sebaris rumah teres, kawasan taman perumahan yang sunyi. Trafik di jalan hadapan aku tidak menentu. Satu ketika banyak kenderaan lalu-lalang, kemudian keadaan kembali sunyi. Hari ini hari bekerja, mungkin mereka semua masih di tempat kerja masing-masing.
Aku duduk di bus stop sambil merokok. Backpack aku letakkan di sebelah dengan keadaan host bladder aku biarkan terjuntai. Sekali-sekala aku sedut air dari host bladder membasahkan tekak. Ntah kenapa aku tak rasa mahu menahan kereta untuk ke pekan Tapah. Aku cuma sekadar memerhatikan kenderaan yang lalu-lalang di hadapan aku. Fikiran aku melayang ke Jen. Aku tak tahu tindakan aku malam semalam betul atau tidak. Ada sedikit menyesal tidak beralah semalam, sengaja mengeruhkan lagi keadaan.
Agak lama aku duduk di bus stop tu tanpa membuat apa-apa. Aku sedar dari lamunan apabila aku terkejut dengan bunyi hon dari lori pasir yang lalu di hadapan. Tak tahu mengapa dia membunyikan hon. On GPS, aku check kedudukan aku sekarang. Aku sekarang berada berhampiran Kampung Pahang, lagi 3.6KM untuk ke pekan Tapah. 3.6 bukan jauh sangat. Lagi pun aku tak berjalan kaki lagi hari ini. Semenjak aku backpacking ni, badan aku akan terasa tak selesa bila belum berpeluh. Aku sarung backpack dan mula berjalan.
Aku melepasi satu kawasan rumah kedai. Berhenti makan tengah hari di situ. Lauk-pauk yang tersedia memang kena dengan selera aku. Masakan kampung lengkap dengan ulam dan sambal belacan. Tengah makan, sekumpulan gadis beruniform seperti nurse datang. Gaya mereka seperti pelajar kolej kejururawatan, bukan seperti nurse sebenar. Mungkin ada kolej kejururawatan yang terletak berhampiran. Aku habiskan makanan dan terus sambung berjalan.
Lebih kurang 5 minit berjalan, sebuah teksi berhenti betul-betul di sebelah aku. Driver teksi, seorang lelaki India berumur dalam lingkungan 40an, menurunkan tingkap dan bertanya aku mahu ke mana. Dengan nada endah tak endah, aku menjawab aku mahu ke pekan Tapah. Selepas apa yang terjadi di Kea Farm semalam, aku tak berhajat untuk menaiki teksi.
"Naiklah. 3 ringgit je saya charge sampai Tapah. Dari you berjalan kaki jauh, baik you naik teksi saya je.", driver teksi tu offer.
Hampir terbeliak biji mata aku bila dia sebut RM3. Murah sangat. Mana nak dapat tambang teksi macam tu. Kat KL, buka je pintu dah kena charge RM3. Sebab murah, aku naik teksi tu. Sepanjang perjalanan aku diam. Mood aku berubah akibat memikirkan Jen tadi. Driver teksi tu juga diam. Lansung tidak bertanya apa-apa walaupun soalan di mana aku mahu turun. Dia turunkan aku di perhentian teksi di tengah-tengah pekan Tapah yang terletak bertentangan dengan perhentian bas. Aku bayar tambang, ucap terima kasih dan terus berjalan ke arah perhentian bas.
Aku tahu tempat ni. Ramadhan yang lepas, aku pernah ke sini untuk menghantar hamper raya kepada Pegawai Daerah Tapah. Aku masih ingat, di jalan inilah mereka adakan bazar Ramadhan masa aku datang. Harga di bazar ni masih murah berbanding di KL. Kuih-muih masih dijual dengan harga RM1 untuk tiga ketul, air masih RM1, Nasi Goreng masih RM3. Jauh berbeza berbanding di KL. Aku pernah terfikir untuk berhijrah ke sini masa tu. Memasang angan-angan menjadi pegawai kerajaan di daerah terpencil macam sini.
Mengikut panduan yang aku jumpa di Internet, jika mahu ke arah selatan menggunakan bas tempatan, dari Tapah aku perlu ke Slim River terlebih dahulu kemudian ke Tanjung Malim. Dari Tanjung Malim, akan ada bas ke Rawang dan seterusnya ke KL. Aku berjalan menyusuri kaunter-kaunter tiket yang terdapat di perhentian bas Tapah. Berdasarkan papan tanda di kaunter tiket, tiada satu pun bas ke Slim River.
Mungkin melihat aku terpinga-pinga seperti orang asing yang sesat, uncle India penjual kacang di perhentian tu menegur aku. Katanya aku perlu ke Sungkai terlebih dahulu sebelum ke Slim River. Bas direct ke Slim River dari Tapah tidak pernah wujud. Mungkin panduan yang aku jumpa tu tersilap, katanya. Terdengar perbualan antara aku dan uncle India, seorang perempuan berambut pendek memegang pouch kecil mencelah.
"Cepat naik! Bas dah nak jalan ni.", kata perempuan tu.
Dia konduktor bas ke Sungkai rupanya. Aku mengekori dia ke bas. Driver bas sudah bersedia untuk memulakan perjalanan semasa kami naik. Aku duduk berhampiran pintu belakang, bersebelahan tingkap. Aku buka tingkap seluas yang boleh. Tiada orang di belakang, jadi tiada masalah untuk aku membuka tingkap luas. Aku dan penumpang belakang berkongsi panel tingkap yang sama. Jika aku membuka tingkap luas maksimum, panel tingkap penumpang belakang akan tertutup.
Dah lama tak naik bas macam ni. Bas bertingkap panas tanpa air cond, panel tingkap berkongsi dengan penumpang belakang, butang loceng berbentuk bulat dengan punat berwarna merah, lantai besi berwarna silver yang hitam kotor dan kerusi merah gelap berspan lembut yang tidak mempunyai pemisah ditengah. Teruja aku sebentar.
Tak ramai penumpang yang ada di dalam bas. Hanya terdapat seorang mak cik tua, beberapa budak sekolah memakai uniform pengakap, dan seorang lelaki Cina tua yang aku rasa dia tengah mabuk. Lelaki Cina tu sedang merokok masa aku naik tadi. Bila si konduktor bertanya di mana dia mahu turun, dia menjawab 'Tapah'. Di sinilah Tapah, kata si konduktor. Lelaki Cina tu menggelengkan kepala beberapa kali, mungkin untuk menyedarkan diri dan kemudiannya memberitahu dia mahu ke Sungkai.
Bas bergerak meninggalkan Tapah.
No comments:
Post a Comment