Tuesday, October 23, 2012

Kea Farm

Aku lari berpatah balik ke arah surau. Memang sukar berlari di jalan tar dengan backpack yang besar, kasut yang tapaknya hanya sesuai untuk offroad. Aku hampir terjatuh banyak kali. Sampai di surau, aku tak berhenti pun. Aku terus berlari ke arah kedai runcit kecil. Aku malu dengan surau suram tu. Lagi pun untuk berteduh di surau, aku perlu buka kasut. Proses membuka kasut ni mengambil masa yang lama. Mahu lencun dulu aku.

Aunty India yang menjaga kedai runcit tu hanya memerhati aku dari jauh. Dia sedikit pun tidak senyum, tegur aku pun tidak. Ada sebuah kereta Proton Saga lama yang berhenti tidak jauh dari kedai. Driver dia, seorang perempuan Melayu bertudung, umur dalam lingkungan 30an keluar dari kereta sambil membuka payung. Dia berjalan ke arah pejabat kesihatan dan keselamatan ladang. Mungkin staf pejabat tu, aku fikir.

Aku menunggu perempuan Melayu tu keluar dari pejabat. Aku mahu tumpang dia keluar. Aku memilih dia sebab dia seorang perempuan dan berbangsa Melayu. Pakej yang lengkap. Perempuan dan orang Melayu memang mudah bersimpati dengan orang lain. Dengan keadaan aku yang basah kuyup, buat muka innocent sikit, pasti dia akan tumpangkan aku ke jalan besar.

Lebih kurang 10 minit menunggu, dia masih tidak keluar. Aku berjalan ke arah parking lot bila aku mula rasa tidak selesa berteduh di kedai runcit kecil tu. Aunty penjaga kedai asyik memerhatikan aku. Seolah aku mahu mencuri barang perniagaan dia. Seolah aku akan menghalang pelanggan dia datang jika aku terus berdiri di situ. Aku berteduh di bawah pokok besar yang terletak di antara laluan keluar masuk kenderaan ke parking lot dan laluan ke arah kilang teh. Terlampau sejuk, aku merokok sambil menunggu perempuan Melayu tadi keluar dari pejabat. Hati aku berdoa agar hujan berhenti cepat. Hati yang lain mengejek, baru sekarang mahu ingat tuhan.

Seorang uncle India berlari dari arah kilang teh ke tempat aku berteduh. Aku sekadar senyum padanya. Aku punya teman berbual akhirnya. Dia memulakan perbualan menanyakan aku dari mana. Aku jawablah aku dari KL. Dia memberitahu dia juga dari KL, datang Cameron bersama keluarganya yang masih menikmati teh di kafe atas. Spesifiknya, dia tinggal di Kuchai Lama. Tak jauh dari rumah aku jika menggunakan jalan belakang berhampiran Salak Selatan. Bosan berdiri dalam sunyi, aku bercerita mengenai perjalanan aku dari Ipoh sampailah ke sini. Dia seakan kagum dengan cerita aku. Aku tinggalkan dia bila hujan hujan lebat bertukar renyai. Dia tak beri hint lansung yang dia akan tumpangkan aku. Dan aku pula tak beri hint lansung yang aku mahu menumpang dia.

Aku dongak ke langit, awan gelap sudah berlalu ke tempat lain. Mungkin hujan lebat tidak akan turun lagi. Aku nekad untuk berjalan keluar. Perempuan Melayu yang aku tunggu-tunggu dari tadi masih belum keluar. Uncle India yang aku borak tadi belum tentu mahu tumpangkan aku. Dari aku menunggu perkara yang belum pasti, baik aku teruskan berjalan. Aku berjalan lebih kurang 300 meter sehinggalah aku terdengar kenderaan di belakang aku hon berkali-kali. Aku toleh ke belakang.

Sebuah kereta Honda City Generasi Ketiga dengan lampu hazard menyala, berhenti di lorong memotong tidak jauh dari aku. Ada dua biji kereta di belakang dia menunggu dengan penuh sabar. Sebuah Perodua Myvi, sebuah lagi Toyota Hilux.  Dia hon lagi sekali bila melihat aku memerhatikan dia.

"Get in! Its raining. I send you to the main road." Uncle India tadi membuka tingkap sambil menghulurkan kepala menjerit kepada aku.

Aku tersenyum. Di dalam kereta, isterinya duduk di kerusi hadapan, anak perempuan dia dalam lingkungan sekolah rendah duduk di kerusi belakang. Dia menyuruh aku duduk di kerusi belakang betul-betul di belakang kerusi dia. Aku perhatikan dia seolah telah menyediakan ruang untuk aku duduk sebelum bertolak tadi. Tempat duduk aku dan anak perempuan dia dipisahkan dengan satu beg besar. Mungkin langkah berjaga-jaga untuk menumpangkan orang asing yang dia tidak kenal.

"Thank you. This is Bhajan right?" aku memulakan perbualan sebaik masuk ke dalam kereta, menanyakan tentang melodi yang keluar dari dari stereo kereta uncle tu.

Aku biasa bekerja dengan kaum India. Mereka cukup suka bila orang Melayu macam aku memahami atau sekurangnya tahu adat istiadat dan agama mereka. Baru betul 1Malaysia, kata mereka-mereka yang aku jumpa masa bekerja di Batu Caves.

Sepanjang perjalanan, kami berbual tentang banyak benda. Dari pekerjaan aku di KL, sehinggalah kisah kemalangan bas di Jalan Simpang Pulai. Uncle tu bekas pesara TM. Aku boleh nampak sticker kereta staf TM yang expired tahun 2010 terlekat di atas roadtax kereta dia. Si isteri tidak banyak cakap, anak mereka lansung tidak bercakap. Sepanjang perjalanan, aku lihat si isteri memegang erat kedua-dua tangannya. Mungkin dia takut melalui jalan sempit bengkang-bengkok yang menghubungkan ladang teh dan jalan besar. Setiap kali melalui selekoh tajam, dia akan mengarahkan suaminya membunyikan hon. Uncle India tu akur lalu membunyikan hon. Aku teringat status Facebook yang dikongsi oleh ramai rakan-rakanku. Rahsia untuk hubungan kekal lama adalah dengan mengucapkan tiga perkataan yang perempuan suka dengar, 'You are right.'

Uncle India menurunkan aku di simpang tiga sebelum masuk ke jalan besar. Aku turun dan seperti biasa, aku angkat tangan tunduk hormat dan perhatikan mereka berlalu meninggalkan aku. Dia membelok ke kiri, ke arah Kampung Raja. Aku tak sempat menanyakan nama uncle tu. Aku lintas jalan besar dan berteduh di bus stop tidak jauh dari tempat Uncle India turunkan aku. Hujan masih renyai-renyai. Terdapat sekumpulan Indon dengan beg-beg besar beroda berteduh di bus stop yang sama.

Tidak selesa dengan mereka, aku berjalan meredah hujan mengikut arus kenderaan ke arah Kea Farm. Aku melepasi Hotel Equatorial dan sebuah kedai borong yang menjual pelbagai produk Cameron Highland. Terdapat sekumpulan kakitangan kerajaan yang tengah shopping di situ. Dari cara pemakaian dan percakapan mereka, aku tahu mereka kakitangan kerajaan. Di seberang jalan, aku nampak bas dengan pelekat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Sah mereka kakitangan kerajaan!

Aku berteduh di kedai borong tu. Berpura-pura mahu membeli sesuatu, aku keluar masuk kedai konon mencari barang yang menarik untuk dibeli. Aku tak mampu untuk beli apa-apa. Bukan tiada duit, aku cuma takut duit aku tak cukup untuk kos perjalanan dan tempat tinggal kalau aku bazirkan dengan benda lain. Aku teringatkan Jen. Tiada apa-apa souvenir untuk dia pun sepanjang aku di sini.

Aku ke rak yang tersusun pelbagai jenis teh. Ada satu teh yang menarik perhatian aku. Design kotak teh tu cantik. BOH Seri Songket Earl Grey with Tangerine nama dia. Sesuai dengan nama dia Seri Songket, kotak teh tu dihias ala-ala tenunan songket. Aku capai juga teh BOH Lemon Myrtle Herb Bags sebagai back up takut Jen tak suka perasa tangerine. Kedua-dua teh ni aku ambil hanya semata kotaknya cantik. Total harga dua teh ni, hampir mencecah RM50. Cubaan meminta diskaun dari cashier tidak berjaya. Semua teh harga tetap, katanya.

Aku keluar dari kedai borong tu berjalan ke arah pekan Kea Farm. Otak aku melayang menyusun semula bajet perjalanan aku. Aku perlu mencari hotel yang berharga kurang dari RM50 untuk bermalam kalau aku mahu terus berjalan-jalan esok.

Hujan kembali lebat sebaik sahaja aku sampai di pasar pekan Kea Farm. Aku berteduh di sebuah kedai sayur yang dijaga oleh lelaki Bangla. Aku tanya dia berapa harga teksi untuk ke Tanah Rata, dia jawab RM3. Aku mencari teksi. Tak mampu lagi untuk berjalan meredah hujan lebat. Aku ada heavy duty poncho dalam backpack aku tapi aku tak tahu kenapa aku tidak keluarkan.

Sebuah teksi Proton Iswara berhenti. Pemandunya seorang lelaki India berumur dalam lingkungan 30an. Ada seorang bangla di tempat duduk hadapan. Aku terus naik tanpa bertanya berapa harga ke Tanah Rata. Pemandu teksi itu lansung tidak membuka air cond walaupun keadaan di luar hujan lebat. Cermin hadapan dan sisi habis berkabus. Aku tak tahu sama ada air cond dia rosak atau dia terlampau sejuk sampai tak mahu menghidupkan air cond.

Selepas bangla tu turun di pertengahan jalan, aku membuka mulut memulakan perbualan. Aku tanya berapa tambang ke Tanah Rata. Dia jawab RM10. Aku tengok batu tanda di tepi jalan menunjukkan lagi 11KM untuk sampai ke Tanah Rata. Dia charge aku RM1 untuk setiap kilometer perjalanan. Macam haram. Aku tanya dia lagi berapa harga kalau aku mahu turun di Brinchang. Aku boleh berjalan dari situ. Sekurang-kurangnya aku boleh jimat sikit duit. Pemandu tu menjawab harga sama RM10.

Dengan nada yang agak tak puas hati, aku suruh dia turunkan sahaja aku di Tanah Rata. Aku tidak punya pilihan. Aku dah naik teksi dia. Lagipun hujan lebat di luar. Aku diam sepanjang perjalanan tanda protes. Hanya kerana aku orang luar yang membawa backpack besar, dia charge aku lebih RM7 dari charge untuk orang tempatan. Aku terfikir, kalau aku, orang Malaysia sendiri dia charge RM10, berapa agaknya dia charge Mat Saleh yang naik teksi dia.

Sepanjang perjalanan aku menyumpah. Kalau di KL, nilai RM10 mungkin kecil bagi aku. Tapi bukan di sini, bukan masa dan ketika ini. Bukan di tempat yang aku tidak kenal sesiapa kecuali Riz dan Man. Bukan semasa aku perlu berjimat untuk pastikan aku selamat tiba di KL.

1 comment: